TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar maut motosikal ditunggang dirempuh dua pikap di LPT1

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 8 Julai - Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh dua kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 207.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Krissdisahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud, berkata siasatan awal mendapati semua kenderaan yang terlibat sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa yang berada di lorong kiri dipercayai terbabas ke lorong kanan.

“Dua kenderaan jenis Ford Ranger yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua pemandu Ford Ranger tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasil siasatan di lokasi mendapati keadaan jalan basah akibat hujan serta pencahayaan yang kurang memadai turut menjadi faktor menyumbang kepada kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berwaspada serta memandu dengan cermat, terutamanya dalam keadaan cuaca buruk dan waktu malam bagi mengelakkan tragedi seumpama ini.

+ - reset