TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rapid Bus siasat insiden kecoh bas MRT, penunggang basikal di media sosial

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Rapid Bus mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden yang tular di media sosial membabitkan sebuah bas perantara Aliran Transit Massa (MRT) dan sekumpulan penunggang basikal, baru-baru ini.

Menurut kenyataan syarikat itu, kejadian berlaku apabila pemandu bas terpaksa memberhentikan kenderaan kerana halangan daripada sekumpulan penunggang basikal yang mengayuh secara berkumpulan dan memasuki lorong kiri laluan bas.

“Tindakan penunggang yang menghalang laluan menyebabkan kapten bas terpaksa menghentikan kenderaan dan menegur kumpulan terbabit.

“Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan berada di lokasi menenangkan keadaan,” jelas kenyataan itu hari ini.

Rapid Bus memaklumkan bahawa pemandu terlibat telah diberikan sesi kaunseling bagi membantunya menangani situasi serupa dengan lebih tenang pada masa akan datang.

Dalam masa yang sama, semua kapten bas turut diingatkan untuk terus mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan.

Pihak syarikat juga menyeru semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.

Terdahulu, media melaporkan satu video tular memaparkan pertengkaran antara seorang pemandu bas dan sekumpulan penunggang basikal di Jalan Bestari Jaya, Kuala Selangor, yang didakwa berpunca daripada tindakan penunggang memasuki lorong bas dan menunggang melebihi garisan jalan.

Video dimuat naik pengguna TikTok @Slmanfrish itu menunjukkan suasana tegang apabila kedua-dua pihak bergaduh mulut di bahu jalan, dengan dakwaan bahawa pemandu bas bertindak agresif terhadap kumpulan tersebut.

+ - reset