TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nama Ahmad Zahid 'rosak' kerana pertahan UMNO – Nurulhidayah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Julai – Nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘rosak’ kerana mempertahankan UMNO ketika parti itu diugut untuk dibubarkan susulan kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, bapanya bukanlah maksum atau sempurna, namun tetap setia memegang amanah sebagai Presiden UMNO yang diberikan oleh perwakilan.

“Beliau tidak pernah tunduk kepada tekanan demi menjaga amanah perwakilan dan legasi kepimpinan terdahulu untuk memelihara parti keramat ini. Politik bukan tentang jawatan tetapi tentang cinta, amanah dan sebuah kesetiaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Nurulhidayah turut menegaskan bahawa kedudukan Islam, Bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta institusi Raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digugat dengan sewenang-wenangnya.

Katanya, segala perubahan terhadap perkara itu memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga di Parlimen serta perkenan Majlis Raja-Raja.

“BN, khususnya UMNO, berada dalam kerajaan bukan untuk menyerah kalah, tetapi untuk memastikan suara Melayu dan Islam tetap bergema dalam setiap dasar dan keputusan.

“Kita ditugaskan mentadbir kementerian strategik seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan MARA, manakala Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri (I) pula merupakan Pengerusi kepada 29 Jawatankuasa Kabinet,” katanya.

Tambah beliau, antara dasar penting yang dipengerusikan Ahmad Zahid termasuk Dasar Tahfiz Negara dan Dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara.

Nurulhidayah berkata, Melayu dan Islam tidak pernah benar-benar terancam, sebaliknya cabaran sebenar datang daripada perpecahan dalaman.

“Musuh sebenar orang Melayu dan Islam adalah apabila kita berpecah, saling menjatuhkan sesama sendiri dan lupa nilai persaudaraan serta perjuangan,” katanya. - Media Telus

+ - reset