TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pembinaan rumah kedai bukan punca letupan paip gas di Putra Heights – MB Selangor

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 8 Julai - Projek pembinaan rumah kedai berhampiran lokasi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya bukan menjadi punca kepada insiden berkenaan, menurut penjelasan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketika membentangkan usul di bawah Peraturan Tetap 13(i) dalam sidang Dewan Negeri Selangor Ke-15 hari ini, beliau menjelaskan bahawa pemaju projek tersebut telah mendapatkan kelulusan daripada PETRONAS sebelum sebarang kerja dijalankan di kawasan seliaan Petronas Gas Berhad (PGB).

"PGB juga mengkehendaki pihak pemaju untuk menepati syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan oleh PETRONAS dalam mesyuarat pra-kerja sebelum permit kerja dikeluarkan," katanya.

Tambah Amirudin, berdasarkan siasatan polis serta pengesahan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), tiada kesan terhadap paip gas bawah tanah daripada kerja-kerja pembinaan di permukaan.

"Menurut siasatan polis dan pengesahan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pula, kerja-kerja di atas tanah tidak menyebabkan isu kepada paip gas kerana paip saliran monsun yang duduk di atas paip gas tidak terkesan dan masih lagi 'intact'."

Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan saliran monsun berukuran diameter 4.2 meter serta taman perumahan di kawasan itu telah dijalankan sejak 2008 hingga 2009 — sebelum penubuhan Pusat Unit Setempat pada tahun 2010.

"Mengikut semakan saya dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), taman perumahan dan pembinaan paip monsun yang berukuran diameter 4.2 meter dijalankan sekitar 2008 dan 2009, iaitu sebelum penubuhan Pusat Unit Setempat pada 2010."

Mengulas hasil siasatan, beliau berkata pihak polis tidak menemui sebarang unsur kecuaian oleh pemaju. Bahkan, semua gambar yang tular telah disiasat dan disahkan berdasarkan kebenaran serta dokumen berkaitan.

"Polis bukan sahaja menyiasat gambar berkenaan. Kita turut memanggil sumber-sumber yang mengambil gambar itu dan menyemak kembali dengan data dan maklumat diberikan. Semua adalah berdasarkan dengan kebenaran diberikan termasuk daripada tuan tanah untuk pembinaan itu.

"Malah, saya boleh sebutkan tapak titik letupan berada pada jarak lebih jauh 30 hingga 60 meter dari tapak kerja yang ditetapkan. Tiada sebarang perkara yang hendak dilindungi."

Jelasnya lagi, kawasan kejadian bukan berada di atas tanah kerajaan, sebaliknya milik Petronas Gas Berhad (PGB) yang diklasifikasikan sebagai hak milik persendirian.

Menjawab dakwaan berhubung Kebenaran Merancang yang didakwa melibatkan zon penampan tidak mencukupi, Amirudin menjelaskan bahawa ketetapan yang dibuat adalah melebihi syarat minimum ditetapkan PGB.

"Zon penampan yang ditetapkan oleh PGB adalah 60 kaki. Di kawasan Putra Heights, zon penampan adalah sebanyak 66 kaki, 6 kaki lebih daripada syarat yang perlu," katanya.

+ - reset