TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ucapan itu gambarkan kesombongan yang sangat besar' - Dr Maza tegur ucapan presiden parti politik bandingkan diri dengan malaikat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menegur seorang presiden parti politik yang menggunakan perumpamaan melibatkan malaikat dalam satu ucapannya yang kini tular di media sosial.

Menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini, Mohd Asri berharap agar individu tersebut tampil memperbetulkan ucapannya memandangkan ia telah menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.

“Beberapa pihak bertanya saya tentang ucapan seorang ahli politik yang menyatakan ‘jika Allah Ta’ala memerintahkan malaikat untuk menjadi Presiden …. (nama partinya), malaikat pun lari malam’.

“Saya rasa beliau terlepas cakap dan saya harap beliau tidak bermaksud seperti yang diucapkan. Pun begitu, saya perlu mengulas ucapan itu supaya tidak ulangi oleh beliau atau pihak yang lain,” katanya.

Tambah beliau, ucapan itu menimbulkan kebimbangan besar kerana menggambarkan salah faham terhadap kedudukan malaikat sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran.

“Ucapan itu menggambarkan kesombongan diri yang sangat besar kerana menyatakan diri pengucap tersebut lebih berkemampuan dibandingkan malaikat jika Allah memerintahkan mereka untuk melakukan apa yang beliau sedang lakukan.

“Ia satu bunyi ucapan yang bernada takabur pada tahap tinggi yang tidak sepatutnya diucapkan. Ia bagaikan satu cabaran kepada Allah bahawa malaikat jika Allah perintah pun tidak berkemampuan seperti beliau,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, ucapan itu juga boleh ditafsirkan seolah-olah jika Allah memilih malaikat untuk memimpin parti tersebut, maka malaikat juga akan gagal — yang secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pilihan Allah pun tidak setanding pengucap itu.

“Ertinya, pilihan Allah pun akan gagal sedangkan beliau tidak gagal. Saya amat berharap, ini bukan maksud beliau.

“Saya harap perkataan ‘memerintahkan malaikat’ yang beliau menggunakannya itu tidak bermaksud ‘jika Allah memilih malaikat...’. Apa pun, ungkapan beliau sangat bahaya jika bermaksud demikian atau difahami demikian oleh pendengar,” katanya lagi.

Mohd Asri turut memberi peringatan bahawa pendengar yang menyokong ucapan tersebut tanpa menegur juga boleh memikul tanggungjawab terhadap kesalahan itu.

Namun begitu, beliau percaya kenyataan itu mungkin berlaku tanpa niat memperlekehkan agama, memandangkan beliau mengenali latar belakang tokoh tersebut.

“Beliau mungkin terlepas cakap dalam suasana yang seperti itu. Demikianlah akibatnya, jika agama dijadikan bahan dalam berpolitik.

“Maka saya mencadangkan beliau membetulkan kembali ucapan tersebut. Di samping itu, beliau hendaklah sedikit tawaduk dengan keupayaan dirinya dan pohonlah kekuatan daripada Allah.

“Jangan dibandingkan dirinya dengan keupayaan malaikat jika Allah memerintahkan mereka. Saya amat bimbang ucapan seperti itu mendatangkan kemurkaan yang besar dari sisi Allah kerana padanya ada kesombongan yang tinggi.

“Setiap kita boleh sahaja tersilap dan tersalah. Apa yang penting kita membetulkan kesalahan itu terutamanya apabila ia menjadi bahan yang diketahui oleh masyarakat awam,” katanya.

Mohd Asri turut menegaskan bahawa tegurannya itu bukan bermotifkan politik.

“Tiada kaitan dengan parti politik tertentu. Kesilapan seperti itu mungkin terjadi pada sesiapa sahaja terutamanya apabila kita tidak berhati-hati,” ujarnya.

Walaupun nama ahli politik itu tidak disebut secara khusus oleh Mohd Asri, kenyataan berkenaan dipercayai merujuk kepada ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini.

+ - reset