TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zahid Hamidi mohon maaf, akui terlanjur kata

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya yang mengaitkan malaikat dalam ucapan yang tular baru-baru ini, yang dibuat ketika menggambarkan tekanan dihadapi semasa memimpin parti itu.

Beliau menjelaskan, ucapan tersebut dibuat dalam suasana penuh emosi, dan tidak berniat untuk mempersenda mana-mana pihak atau elemen agama.

"Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah SWT dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

"Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan.

"Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki," katanya menerusi satu hantaran di Facebook, petang tadi.

Sebelum ini, ucapan Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sri Gading tular di media sosial, apabila beliau menyatakan:

“Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi Presiden ketika itu, mungkin dia pun lari malam.”

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk teguran terbuka daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang menyifatkan ucapan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan malaikat dalam Islam.

Zahid dalam kenyataannya menegaskan, beliau insaf dan mengambil tanggungjawab penuh atas kekhilafan tersebut, serta berdoa agar semua pemimpin dan masyarakat sentiasa berada dalam bimbingan Allah SWT.

+ - reset