TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

468 perusahaan sosial terima akreditasi KUSKOP, lebih 56,000 terima manfaat - Ramanan

By
|
Kongsi
image

SUBANG JAYA 8 Julai - Sebanyak 468 perusahaan sosial telah menerima akreditasi daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) setakat Jun lalu, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 56,000 penerima sasaran di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan, berkata perusahaan sosial bukan sahaja berorientasikan keuntungan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam menangani cabaran sosial dan ekonomi yang semakin kompleks.

“Inisiatif ini hadir tepat pada masanya. Ketika kita berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa, peranan perusahaan sosial menjadi semakin penting dalam membina masyarakat yang inklusif dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Students’ Social Entrepreneurship Initiative’ dan Seminar Keusahawanan Sosial yang diadakan di Kolej Antarabangsa INTI, di sini hari ini.

Menurut Ramanan, Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) yang merupakan agensi di bawah KUSKOP dan bertindak sebagai sekretariat akreditasi perusahaan sosial, akan memperluas pelaksanaan kursus dan seminar berkaitan bagi memperkasa pemain industri.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pembangunan perusahaan sosial adalah antara agenda utama kerajaan, dengan KUSKOP memainkan peranan penting sebagai peneraju ekosistem tersebut di Malaysia.

“KUSKOP komited memperkukuh sokongan kepada perusahaan sosial dengan mewujudkan dasar serta insentif yang kondusif, selain menggalakkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat sivil.

“Yang paling penting, kita mahu mengangkat suara komuniti akar umbi dan golongan yang terpinggir,” ujarnya.

+ - reset