Berita Berita
PBT Selangor diminta pastikan lokasi MyKiosk strategik dan sesuai

SHAH ALAM 9 Julai – Kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta menjalankan pemantauan dan siasatan rapi bagi memastikan peletakan unit gerai MyKiosk dibuat di lokasi yang strategik, selamat dan memudahkan urusan antara peniaga serta pelanggan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, langkah itu penting agar penyediaan MyKiosk tidak dilakukan secara tergesa-gesa dan teratur mengikut kesesuaian kawasan.
“Saya minta semua PBT buat pemantauan dan siasatan yang sebaiknya sebelum meletakkan MyKiosk. Biar ia teratur dan berada di tempat yang telah dikenal pasti sebagai sesuai.
“Sekiranya didapati tidak sesuai, kita beri tempoh tiga bulan. Jika lokasi itu memang tidak menarik peniaga atau kurang sambutan, maka kita akan cari lokasi baharu kerana MyKiosk ini boleh dipindahkan,” katanya pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) yang membangkitkan isu kesesuaian lokasi dan kadar cagaran MyKiosk yang mungkin terlalu tinggi bagi sesetengah peniaga.
Menurut Ng, sebanyak 1,028 unit MyKiosk telah dibina di seluruh negeri dengan jumlah peruntukan RM20.33 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM19.5 juta dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala baki RM822,211 ditanggung oleh PBT bagi kerja-kerja penyediaan tapak bergantung kepada keadaan fizikal lokasi,” jelasnya.
Secara purata, kos pembinaan bagi seunit MyKiosk adalah sebanyak RM19,785.80, termasuk kos struktur dan penyediaan tapak.
MyKiosk merupakan inisiatif KPKT bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan kembali berdaya saing serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat, antaranya melalui kadar sewaan kios yang rendah dan berpatutan. – Media Telus
Berita berkaitan
July 9, 2025, 9:10 pm
PAC panggil Amir Hamzah esok, siasat penswastaan MAHB
July 9, 2025, 5:53 pm
Keputusan tarif AS 25 peratus ditentukan Trump, bukan hasil rundingan – Tengku Zafrul
July 9, 2025, 4:58 pm
KPDN beri amaran, jangan naikkan harga barang guna alasan SST
July 9, 2025, 3:59 pm
OPR turun kepada 2.75 peratus
July 9, 2025, 2:12 pm
PSAP gesa PDRM siasat kenyataan Ahmad Zahid berkait isu agama
July 9, 2025, 1:49 pm
Anwar jumpa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio esok
July 9, 2025, 12:15 pm