Berita Berita
KPDN beri amaran, jangan naikkan harga barang guna alasan SST

PUCHONG 9 Julai – Hanya barangan yang dikeluarkan atau diimport bermula 1 Julai 2025 sahaja yang akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Penguat Kuasa KPDN, Shamsul Nizam Khalil, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kemungkinan wujud manipulasi harga oleh segelintir peniaga yang cuba menggunakan pelaksanaan SST sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan yang sebenarnya tidak terlibat.
“Jika ada peniaga menaikkan harga barang yang diimport sebelum tarikh itu, kita anggap itu satu bentuk manipulasi dan kita akan siasat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan Ops Kesan 4.0 di Balaji Enterprise Sdn. Bhd., Seri Kembangan, hari ini, bagi menilai pelaksanaan SST dan kepatuhan harga oleh peniaga.
Shamsul Nizam menjelaskan bahawa Ops Kesan 4.0, yang bermula pada 1 Julai lalu, melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas pelbagai peringkat perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit.
“Kita juga meneliti sama ada pergerakan harga barangan bercukai adalah selaras dengan pengenaan SST oleh pengilang atau pengimport."
“Terdapat lebih 1,000 jenis barangan yang dikecualikan daripada SST, termasuk barangan keperluan asas. Oleh itu, sebarang kenaikan harga perlu ada asas yang jelas.
“Kalau tidak, ia boleh dikategorikan sebagai mencatut,” katanya.
Tambah beliau, antara fokus utama Ops Kesan 4.0 ialah untuk mengenal pasti elemen pencatutan, iaitu perbuatan mengambil keuntungan secara tidak munasabah – yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Proses kita melibatkan tiga langkah utama. Pertama, mengeluarkan notis Seksyen 21 untuk mendapatkan maklumat kos dan harga barangan. Kedua, kita akan meneliti harga jualan. Ketiga, kita akan lakukan analisis perbandingan untuk menentukan sama ada wujud pencatutan.
“Kalau ada unsur mencatut, tindakan undang-undang akan diambil. Individu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tumpuan turut diberikan kepada barangan yang tidak tertakluk kepada SST, tetapi mengalami perubahan harga secara mendadak, untuk mengelakkan rakyat terus dibebani oleh harga yang dinaikkan tanpa sebab munasabah.
“Ini antara fokus utama kita kerana kita tidak mahu rakyat terbeban dengan harga barang yang dinaikkan atas alasan yang tidak sah,” katanya.
Berita berkaitan
July 9, 2025, 9:10 pm
PAC panggil Amir Hamzah esok, siasat penswastaan MAHB
July 9, 2025, 5:53 pm
Keputusan tarif AS 25 peratus ditentukan Trump, bukan hasil rundingan – Tengku Zafrul
July 9, 2025, 3:59 pm
OPR turun kepada 2.75 peratus
July 9, 2025, 2:12 pm
PSAP gesa PDRM siasat kenyataan Ahmad Zahid berkait isu agama
July 9, 2025, 1:49 pm
Anwar jumpa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio esok
July 9, 2025, 1:40 pm
PBT Selangor diminta pastikan lokasi MyKiosk strategik dan sesuai
July 9, 2025, 12:15 pm