TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar jumpa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio esok

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio esok.

Pertemuan itu dijadualkan berlangsung susulan Persidangan Pasca Menteri ASEAN-AS, yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di ibu negara.

“Saya akan bertemu dengannya esok,” kata Anwar secara ringkas kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat AMM ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan hari ini.

Difahamkan, Rubio berlepas ke Malaysia pada Selasa untuk menghadiri pertemuan bersama pemimpin-pemimpin ASEAN, di tengah-tengah ketegangan berikutan pengumuman tarif baharu oleh Presiden AS, Donald Trump.

Trump sebelum ini mengumumkan pelaksanaan duti import sebanyak 25 peratus ke atas barangan Malaysia yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Ogos depan.

Kabinet Malaysia dijangka membincangkan isu tarif tersebut dalam mesyuarat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menyatakan bahawa ASEAN sedang menantikan kehadiran Timor-Leste sebagai anggota terbaru ASEAN pada Oktober ini.

“Kami gembira dengan kemajuan yang dicapai. Saya menyeru semua negara anggota terus menyokong laluan Timor-Leste ke arah integrasi sepenuhnya — bukan sahaja ke dalam institusi kita, tetapi juga ke dalam visi bersama kita untuk masa depan rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58.

Untuk rekod, Timor-Leste telah diterima secara rasmi sebagai anggota penuh ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei lalu, setelah dipersetujui sebulat suara oleh semua negara anggota. 

+ - reset