Berita Berita
Mahasiswa terjerat BNPL, KPT arah siasatan lanjut sebelum makin ramai tanggung hutang tinggi

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius penglibatan mahasiswa dalam skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) yang berisiko membebankan mereka dengan hutang tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata usaha berterusan perlu dilakukan bagi memberi peringatan kepada pelajar agar tidak terjebak dengan skim pinjaman yang menawarkan bayaran tertunda tetapi mengenakan kadar faedah tinggi dan caj tersembunyi.
“Saya ingin mengingatkan mahasiswa supaya tidak terjebak dengan skim pinjaman yang boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka, sekali gus menyebabkan mereka terperangkap dalam beban hutang tanpa sedar.
“Ada pihak menghubungi saya dan memaklumkan tentang isu ini, dan pihak kementerian juga telah mengambil langkah memberi peringatan kepada mahasiswa supaya berhati-hati dengan tawaran seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa industri BNPL mencatat peningkatan mendadak dengan lebih 5.1 juta akaun aktif direkodkan sehingga akhir 2024.
Jumlah transaksi juga melonjak kepada 149 juta transaksi dengan nilai keseluruhan mencecah RM12 bilion.
Namun begitu, perkembangan tersebut turut menyumbang kepada peningkatan kes hutang tertunggak serta caj tersembunyi, sekali gus membebankan pengguna, termasuk golongan pelajar.
Mengulas lanjut, Zambry berkata pihak kementerian belum menerima maklumat berkaitan mahasiswa yang disenarai hitam akibat keterlibatan dalam skim BNPL, namun beliau telah mengarahkan KPT untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Kita akan membuat semakan mendalam dan saya sekali lagi ingin mengingatkan pelajar agar tidak terperangkap dengan skim sebegini, kerana akhirnya mereka sendiri yang akan menanggung kesusahan apabila dibebani hutang,” katanya lagi.
Berita berkaitan
July 9, 2025, 9:10 pm
PAC panggil Amir Hamzah esok, siasat penswastaan MAHB
July 9, 2025, 5:53 pm
Keputusan tarif AS 25 peratus ditentukan Trump, bukan hasil rundingan – Tengku Zafrul
July 9, 2025, 4:58 pm
KPDN beri amaran, jangan naikkan harga barang guna alasan SST
July 9, 2025, 3:59 pm
OPR turun kepada 2.75 peratus
July 9, 2025, 2:12 pm
PSAP gesa PDRM siasat kenyataan Ahmad Zahid berkait isu agama
July 9, 2025, 1:49 pm
Anwar jumpa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio esok
July 9, 2025, 1:40 pm
PBT Selangor diminta pastikan lokasi MyKiosk strategik dan sesuai
July 9, 2025, 12:15 pm