TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PSAP gesa PDRM siasat kenyataan Ahmad Zahid berkait isu agama

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 9 Julai – Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan tergolong dalam isu 3R (kaum, agama dan raja).

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kerajaan sebelum ini sering mengingatkan rakyat dan pembangkang agar tidak menyentuh isu 3R, namun pemimpin kerajaan sendiri juga perlu mematuhi nasihat yang sama.

“Kerajaan selalu minta rakyat dan pembangkang jangan mainkan isu 3R, maka kerajaan juga tidak boleh melakukannya.

“Tuduhan seperti ini (malaikat lari malam) sangat tidak masuk akal dan mengguris perasaan rakyat Malaysia beragama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haslihelmy menegaskan bahawa pemimpin seharusnya menjaga batas dan adab ketika berpidato, terutamanya apabila menyentuh isu berkaitan agama.

“Tidak ada ruang untuk menjadikan perkara keimanan sebagai bahan gurauan, sindiran atau perbandingan yang merendahkan,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Ahmad Zahid yang menyebut: “Kalau Allah suruh malaikat jadi Presiden UMNO pun, malaikat akan lari malam. Tapi saya tidak.”

Menurut Haslihelmy, walaupun kenyataan itu dibuat dalam nada bergurau atau sebagai hiperbola politik, ia tetap dianggap tidak wajar.

“Menyentuh nama Allah dan malaikat tidak sepatutnya dijadikan bahan perbandingan untuk menaikkan imej politik mana-mana pihak.

“Kenyataan seperti ini bukan sahaja mencerminkan kecuaian terhadap sensitiviti agama, malah membuka ruang kepada penghinaan halus terhadap perkara yang sepatutnya dimuliakan dan dihormati,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa tegurannya dibuat atas prinsip tanggungjawab mempertahankan maruah agama Islam dan bukan kerana perbezaan politik.

“Jangan sampai kerana politik, kita tergelincir dalam perkara yang sepatutnya tidak disentuh sama sekali,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengakui berlaku kekhilafan dalam kenyataan tersebut yang dibuat dalam suasana penuh emosi ketika menjelaskan tekanan sebagai pemimpin utama parti. – Media Telus

+ - reset