Berita Jenayah
CEO Batu mengaku tidak bersalah amang seksual remaja 13 tahun
AMPANG 10 Julai - Seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai Muhamad Iqbal Muhamad Nor atau lebih popular dengan gelaran CEO Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, Mei lalu.
Tertuduh yang berusia 22 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Iqbal didakwa melakukan perbuatan amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat oleh mangsa, seorang remaja perempuan, dalam kejadian yang berlaku di sebuah unit kediaman di Batu Caves, Gombak pada jam 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Aniq Rafih memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM6,000, dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pempengaruh dan berpendapatan RM3,000 sebulan.
"Pendapatan tertuduh juga terjejas susulan akaun media sosialnya telah disekat, selain telefon bimbit miliknya masih dalam rampasan pihak polis.
"Tertuduh turut menjaga datuknya yang menghidap penyakit kencing manis dan jantung," katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Ogos depan bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa CEO Batu ditahan polis selepas dikaitkan dengan dakwaan menghantar mesej berbaur lucah kepada seorang remaja bawah umur.
Nama tertuduh menjadi perhatian ramai selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice, mendedahkan beberapa tangkap layar mesej yang didakwa dihantar oleh tertuduh kepada remaja perempuan tersebut menerusi media sosial.
Caprice turut mendakwa dihubungi oleh ibu kepada mangsa yang memohon bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh pempengaruh berkenaan.
Antara mesej yang didedahkan termasuk gambar tidak senonoh dipercayai dihantar tertuduh kononnya untuk menunjukkan parut kesan pembedahan.
Berita berkaitan
October 31, 2025, 3:01 pm
Konon mahu ubah nasib mangsa, sami dijel 15 tahun rogol remaja dalam kebun sawit
October 6, 2025, 7:09 pm
Polis buka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawai dan anggota didakwa tawar sogokan RM500
October 1, 2025, 6:28 pm
Dua lelaki curi beg sekolah dari motosikal di Kluang
October 1, 2025, 12:17 pm
Dua lagi remaja ditahan kes serangan terhadap pemandu Myvi
September 30, 2025, 10:53 am
Sembilan remaja ditahan kes kepung dan serang Myvi di Serdang
September 29, 2025, 8:05 pm
Pemilik syarikat pakej perkahwinan tipu pelanggan lebih RM309,000 ditahan polis
September 29, 2025, 2:41 pm
(VIDEO) Penunggang motosikal cedera dirempuh Myvi pandu melulu di Kajang
September 25, 2025, 9:17 am
(VIDEO) Pemandu E-Hailing pandu melulu, hampir rempuh pejalan kaki ditahan polis
September 24, 2025, 11:27 am
