Berita Jenayah
Polis tumpas sindiket dadah guna kondominium mewah di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU 11 Julai – Tindakan seorang lelaki menyewa dua unit kondominium mewah sebagai stor simpanan dan pusat pengedaran dadah akhirnya terbongkar apabila diserbu polis dalam satu operasi baru-baru ini.
Dua unit kondominium di Jalan Haji Saman dan Jesselton itu dipercayai dijadikan ‘markas rahsia’ menyimpan dadah jenis syabu, ketamin dan pil ekstasi untuk diedarkan di dalam serta luar negara.
Ketua sindiket, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun, ditahan dalam serbuan pertama yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 4 Julai lalu, kira-kira jam 7.45 malam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil pemeriksaan di salah satu unit kondominium menemui beg berisi plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 790.56 gram, mesin pengira wang, alat penimbang digital dan peralatan membungkus dadah.
“Pada keesokan harinya, satu lagi unit kondominium yang turut disewa suspek diserbu dan polis menemui dua paket plastik disyaki berisi ketamin seberat 14.14 gram,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini.
Tambah Jauteh, suspek kemudian membawa pasukan serbuan ke sebuah kereta Toyota Yaris yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan awam berhampiran Sabah Art Gallery Outdoor Artspace.
“Pemeriksaan ke atas kereta itu menemui satu beg bagasi dan sebuah kotak mengandungi 12.7 kilogram syabu, 6.9 kilogram ketamin, 25 peket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM960,000,” katanya.
Menurut beliau, polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Hilux, menjadikan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1.23 juta.
Siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan laluan udara untuk membawa masuk bekalan dadah ke negeri ini sebelum diseludup keluar ke negara jiran.
“Bekalan dadah yang dirampas mampu menampung lebih 100,000 kali kegunaan penagih,” katanya lagi.
Suspek turut didapati positif methamphetamine dan amphetamine namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Media Telus
Berita berkaitan
October 31, 2025, 3:01 pm
Konon mahu ubah nasib mangsa, sami dijel 15 tahun rogol remaja dalam kebun sawit
October 6, 2025, 7:09 pm
Polis buka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawai dan anggota didakwa tawar sogokan RM500
October 1, 2025, 6:28 pm
Dua lelaki curi beg sekolah dari motosikal di Kluang
October 1, 2025, 12:17 pm
Dua lagi remaja ditahan kes serangan terhadap pemandu Myvi
September 30, 2025, 10:53 am
Sembilan remaja ditahan kes kepung dan serang Myvi di Serdang
September 29, 2025, 8:05 pm
Pemilik syarikat pakej perkahwinan tipu pelanggan lebih RM309,000 ditahan polis
September 29, 2025, 2:41 pm
(VIDEO) Penunggang motosikal cedera dirempuh Myvi pandu melulu di Kajang
September 25, 2025, 9:17 am
(VIDEO) Pemandu E-Hailing pandu melulu, hampir rempuh pejalan kaki ditahan polis
September 24, 2025, 11:27 am
