TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perarakan aman Majlis Peguam bukti demokrasi Malaysia semakin matang - Sangheta

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA, 15 Julai — Malaysia terus menunjukkan kematangan demokrasi apabila lebih 300 peguam berhimpun secara aman di Putrajaya semalam, dalam satu perarakan yang berlangsung tertib dan penuh disiplin dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri.

Perarakan aman anjuran Majlis Peguam Malaysia itu menjadi simbol kepada perkembangan positif demokrasi negara apabila komuniti undang-undang bangkit bersuara memperjuangkan prinsip pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman.

Menurut Setiausaha Wanita KEADILAN, Sangetha Jayakumar, perhimpunan ini membuktikan kemajuan demokrasi rakyat Malaysia yang semakin matang dan terbuka.

“Tiada kekecohan, tiada provokasi hanya suara matang mendukung keadilan serta kebebasan institusi. Inilah cerminan kematangan sistem negara dalam menguruskan hak berhimpun secara aman sebagaimana dijamin Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, suasana harmoni jelas kelihatan apabila peserta berarak dengan penuh tertib sambil menerima edaran air mineral dan ais krim, menggambarkan semangat perpaduan yang terpelihara walaupun terdapat perbezaan pandangan politik dan ideologi.

Turut sama menyertai perarakan ialah Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar yang menunjukkan solidariti bersama masyarakat sivil. Kehadiran beliau disifatkan sebagai lambang komitmen kepada reformasi institusi dan dialog demokratik.

“Hak berhimpun secara aman bukan sahaja dilindungi oleh Perlembagaan, tetapi adalah nadi kepada sebuah masyarakat demokratik yang sihat. Apabila rakyat bersuara dengan tenang dan berprinsip, itu adalah kekuatan sebenar negara,” kata Nurul Izzah semasa perhimpunan itu.

Sangetha turut menegaskan bahawa prinsip demokrasi sebenar adalah memberikan ruang untuk rakyat berhujah dan menyuarakan pendapat secara bebas tanpa gangguan, meskipun pandangan yang disuarakan tidak semestinya dipersetujui semua pihak.

“Perhimpunan ini bukan soal menang atau kalah, tetapi soal menyediakan ruang kepada rakyat menyuarakan keresahan mereka secara aman dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Peguam, pihak keselamatan dan semua peserta kerana berjaya memastikan perhimpunan berjalan secara harmoni dan beradab.

“Keadilan telah melangkah hari ini, dan setiap langkah itu membawa kita lebih dekat kepada Malaysia yang demokratik, adil dan inklusif,” kata Sangetha.

Perhimpunan hari ini disifatkan ramai pemerhati sebagai contoh terbaik budaya berhimpun secara matang, membuktikan bahawa kemajuan demokrasi bukan sahaja diukur dari pilihan raya tetapi juga kemampuan rakyat bersuara secara aman dan bertamadun. - Media Telus

+ - reset