TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Orang Perak diseru rebut peluang kerja industri sebelum 'orang luar' ambil - MB Saarani

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Anak muda Perak diseru agar tidak melepaskan peluang pekerjaan yang ditawarkan hasil pembangunan pesat sektor perindustrian negeri di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peluang tersebut terbuka luas kepada penduduk tempatan yang memiliki kemahiran, khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional.

"Inilah masa untuk anak Perak rebut peluang, tak perlu berhijrah ke negeri lain tetapi syaratnya mereka mesti ada sijil kelahiran yang diiktiraf.

"Tapi kalau orang Perak tak ambil peluang ini, kita buka kepada orang Perlis, Terengganu, Kelantan... tapi tak apa sebab orang Malaysia. Kalau tak cukup juga, kita buka peluang kepada orang Bangladesh, Indonesia dan sebagainya," katanya dalam laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) di ibu negara.

Sebelum ini, beliau memaklumkan beberapa projek berskala besar sedang berjalan seperti Automotive High-Tech Valley (AHTV), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP), yang dijangka membuka lebih 100,000 peluang kerja dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Selain itu, kerajaan negeri juga kini bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan kempen kesedaran ke seluruh daerah bagi memaklumkan mengenai potensi besar kerjaya dalam bidang TVET.

"Daripada sumber yang saya peroleh, sebanyak 94 peratus graduan TVET mendapat pekerjaan. Kita bawa turun alumni TVET yang berjaya yang kini jadi chef, tukang kimpal, pakar animasi supaya pelajar boleh nampak dan percaya masa depan mereka dalam bidang ini.

"Sebab itulah kita sedang berbincang dengan pemain industri dan institusi latihan supaya penawaran kursus benar-benar relevan dengan industri yang bakal serap pelajar ini bekerja.

"Kita tidak mahu peluang yang ada ini lepas ke tangan orang luar hanya kerana anak Perak tiada kemahiran. Kita mahu Perak makmur, rakyat sejahtera makmur itu datang bila rakyat ada kerja dan boleh berbelanja," jelasnya.

 

 

+ - reset