TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sabar, rakyat akan gembira dengan kejutan kerajaan - KSN

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Julai – Rakyat Malaysia dijanjikan satu kejutan istimewa oleh kerajaan dengan bayangan pengumuman bakal menggembirakan ramai, khususnya golongan penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, meskipun beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut, rakyat diminta bersabar kerana kejutan tersebut akan membawa kegembiraan.

“Ia kejutan tetapi akan menggembirakan rakyat. Kalau ia untuk penjawat awam, ia akan menggembirakan penjawat awam, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Tindakan Antarabangsa Ketiga Azman Hashim International Business School (AHIBS-ACT) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ketika ditanya lanjut mengenai poster dimuat naik di laman rasmi Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan “penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia”, Shamsul Azri hanya menjawab ringkas.

“Saya bukan ahli silap mata… tunggu, tunggu kerana ia surprise (kejutan). Ia berkunci penuh, tidak dapat dibuka,” katanya sambil menegaskan pengumuman itu akan dibuat pada masa yang sesuai oleh pihak kerajaan.

Poster sama turut dimuat naik di laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), menambah lagi rasa ingin tahu rakyat mengenai insentif atau inisiatif baharu yang bakal diumumkan.

Perdana Menteri sebelum ini menerusi hantaran media sosial turut membayangkan satu pengumuman penting akan dibuat sebagai ‘hadiah’ kepada rakyat Malaysia.

“Bersama Malaysiaku,” tulis Anwar dalam hantaran ringkas tanpa perincian lanjut, mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan netizen.

Difahamkan, Perdana Menteri dan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) mengadakan perjumpaan tertutup semalam bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk persediaan menghadapi sidang Parlimen akan datang. Ia turut menyusul selepas sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Jumaat lalu.

Ketika ini, ramai menantikan pengumuman rasmi kerajaan yang dijangka membawa khabar gembira buat seluruh rakyat, khususnya golongan penjawat awam.

+ - reset