TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

90 anggota polis Kelantan bebas obesiti selepas sertai program khas

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 15 Julai 2025 – Seramai 90 anggota, pegawai dan kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan berjaya keluar daripada kategori obesiti selepas menyertai program penurunan berat badan yang dilaksanakan sejak November tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, program selama enam bulan itu melibatkan seramai 354 peserta berusia 45 tahun ke bawah yang dikenal pasti mengalami masalah berat badan berlebihan berdasarkan penilaian awal.

“Daripada jumlah itu, 90 peserta telah berjaya keluar daripada kategori obes dengan penurunan berat badan tertinggi direkodkan mencecah 27 kilogram,” katanya pada Majlis Penutupan Program Biggest Losses di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.

Walaupun masih terdapat 264 peserta belum mencapai tahap ideal, Mohd Ali berkata mereka menunjukkan perkembangan positif dan sedang berada dalam proses perubahan gaya hidup.

Beliau menegaskan bahawa pengurusan berat badan kini menjadi syarat penting dalam kerjaya anggota PDRM, selaras dengan keputusan Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis ke-124 yang menetapkan had Indeks Jisim Badan (BMI) tidak melebihi 30 sebagai syarat pengesahan pangkat atau permohonan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

“Skim tertentu pula hanya membenarkan permohonan daripada mereka yang mempunyai BMI antara 19 hingga 26. Jika gagal turunkan berat badan, peluang kenaikan pangkat dan mengikuti kursus akan terjejas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penampilan anggota polis sebagai imej pasukan keselamatan negara, khususnya dalam era media sosial yang penuh perhatian awam.

“Kami mahu anggota bukan sahaja cekap dan berintegriti, tetapi juga sihat, cergas dan kemas dari segi fizikal kerana ia mencerminkan disiplin serta kesiapsiagaan barisan hadapan,” ujar beliau.

Tambahnya, walaupun belum semua peserta mencapai sasaran, program itu berjaya menanam benih perubahan dalam jangka panjang.

“Kami akan terus pantau dan bantu dengan pendekatan lebih berfasa. Apa yang lebih penting ialah perubahan sikap dalam pemakanan, aktiviti fizikal dan kesedaran kendiri,” katanya.

Pada majlis itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh diumumkan sebagai penerima Anugerah IPD Terbaik bagi pelaksanaan program berkenaan. – Media Telus

+ - reset