TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AADK akan ambil tindakan tegas terhadap kakitangan langgar integriti – Ruslin

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Julai – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran integriti melibatkan kakitangannya, susulan laporan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang didedahkan semalam.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, mana-mana individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas, sama ada di bawah undang-undang atau peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa.

“Pihak AADK mengalu-alukan hasil siasatan EAIC dan ingin menegaskan bahawa kami tidak akan melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam pelanggaran tatakelakuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua warga AADK agar sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh integriti, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah.

Semalam, EAIC mencadangkan agar tindakan jenayah dan tatatertib dikenakan terhadap beberapa pegawai AADK berikutan insiden kekerasan yang berlaku di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pahang.

Siasatan dijalankan susulan aduan berkaitan kejadian memukul dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang klien ketika berada dalam pemulihan pada 2024. Laporan EAIC turut menyatakan wujud kemungkinan unsur penyembunyian apabila maklumat mengenai kecederaan hanya dimaklumkan kepada ibu pejabat AADK selepas tempoh yang tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata AADK kekal komited bekerjasama rapat dengan EAIC bagi memastikan ketelusan serta memperkukuh tadbir urus dalam agensi, khususnya berkaitan penyiasatan terhadap aduan salah laku dan integriti. – Media Telus

+ - reset