TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok terima pencen penakat PERKESO

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Julai – Anak sulung kepada mangsa tragedi lemas di Sungai Korok, Putri Qisya Nur Izzat, 12, disahkan layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), hasil caruman arwah bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak.

Dalam satu kenyataan hari ini, PERKESO memaklumkan bahawa semakan mendapati mangsa, 31, merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) ketika berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.

“Waris layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat berjumlah RM576.25 sebulan hingga waris mencecah usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama,” menurut kenyataan itu.

PERKESO turut menzahirkan rasa simpati atas tragedi menyayat hati itu dan menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan waris mangsa terus terpelihara menerusi pelbagai bantuan.

Antara bantuan yang sedang diperincikan termasuk intervensi pendidikan, penjagaan emosi serta sokongan psikososial di bawah Program Sinergi Sosial bagi memastikan anak arwah mendapat bantuan jangka panjang yang sewajarnya.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan semakan segera dibuat terhadap rekod caruman mangsa untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga terbabit.

“Tragedi ini membuktikan betapa pentingnya sistem perlindungan sosial seperti PERKESO yang bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, tetapi menjadi benteng terakhir buat keluarga pekerja dalam situasi luar jangka,” katanya sebelum ini.

Pada 7 Julai lalu, negara dikejutkan dengan penemuan enam sekeluarga yang maut selepas kereta dinaiki mereka tenggelam di dasar Sungai Korok, Kedah. Mereka yang terkorban ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32; isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan. – Media Telus

+ - reset