Berita Berita
Negara rugi lebih RM950 juta cukai eksport, SPRM gempur sindiket seludup besi buruk di 5 negeri

GEORGE TOWN 15 Julai – Sindiket penyeludupan besi buruk yang menyebabkan negara kerugian hasil cukai eksport lebih RM950 juta digempur dalam operasi besar-besaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama beberapa agensi penguat kuasa.
Operasi khas dikenali sebagai ‘Op Metal’ itu menyasarkan 19 lokasi di lima negeri membabitkan Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah, dengan kerjasama Bahagian Operasi Khas SPRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Bank Negara Malaysia.
Dalam laporan Bernama, serbuan terbesar dilakukan di Pulau Pinang dengan enam lokasi diserbu kelmarin melibatkan rumah, pejabat dan tempat pemprosesan besi buruk yang dipercayai menjadi pusat kegiatan sindiket.
Dalam operasi pertama sekitar jam 6 pagi Isnin, pasukan operasi yang turut disertai Bernama menyerbu sebuah banglo mewah tiga tingkat di Batu Maung, dipercayai kediaman seorang lelaki warga asing yang merupakan pemilik syarikat besi buruk.
“Pasukan dimaklumkan lelaki itu berada di luar negara atas urusan perniagaan sejak dua hari lepas dan mendapati hanya isteri, anak dan seorang wanita warga emas dipercayai ibunya berada di rumah.”
Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan menggeledah kediaman untuk mendapatkan bahan bukti dan dokumen berkaitan penyeludupan manakala kawalan keselamatan diselia oleh skuad taktikal antirasuah (ACTS).
Serbuan kedua pula berlangsung di sebuah premis penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam sekitar jam 9 pagi ketika premis itu baru dibuka.
Anggota ACTS menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis berpagar zink itu yang menyimpan pelbagai jenis besi buruk dipercayai untuk dieksport ke luar negara. Hampir 30 pekerja termasuk kakitangan pejabat dikumpulkan bagi siasatan lanjut.
“Kira-kira 15 minit kemudian, seorang lelaki mengaku pengurus premis itu tiba dan memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya, selain difahamkan beberapa dokumen turut dirampas.”
Selain itu, tujuh serbuan turut dijalankan di Selangor, empat di Kedah, manakala Negeri Sembilan dan Johor masing-masing satu lokasi melibatkan kediaman, pejabat serta pusat pemprosesan besi buruk.
“Sindiket didapati menyeludup keluar besi ke India, China dan beberapa negara lain namun membuat ikrar palsu dengan menyatakan barangan tersebut adalah jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport 15% seperti ditetapkan kerajaan,” menurut sumber.
Sindiket berkenaan dipercayai merasuah pegawai penguat kuasa bagi memudahkan urusan penyeludupan, mengelak pemeriksaan ketat dan pengenaan cukai.
“Tindakan pengawai penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket itu menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM160 juta setahun sejak enam tahun lalu atau keseluruhannya dianggarkan lebih RM950 juta,” jelas sumber itu lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan serbuan dilakukan di lima negeri melibatkan pengilang serta syarikat pengeksport besi ke luar negara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.”
Beliau turut memaklumkan siasatan turut dijalankan untuk mengenal pasti individu terlibat termasuk penjawat awam yang melindungi sindiket penyeludupan besi ini.
Berita berkaitan
July 15, 2025, 4:32 pm
Polis sahkan pengasas eHati, suami ditahan
July 15, 2025, 4:15 pm
MITI: Tiada bukti penyeludupan cip AI berprestasi tinggi dikesan – Tengku Zafrul
July 15, 2025, 3:19 pm
Malaysia tekad pimpin agenda latihan masa depan di ASEAN
July 15, 2025, 3:12 pm
Sabar, rakyat akan gembira dengan kejutan kerajaan - KSN
July 15, 2025, 2:25 pm
Polis siasat gambar pesawat pengebom AS berlegar di ruang udara Saratok
July 15, 2025, 1:09 pm
Orang Perak diseru rebut peluang kerja industri sebelum 'orang luar' ambil - MB Saarani
July 15, 2025, 1:08 pm
AADK akan ambil tindakan tegas terhadap kakitangan langgar integriti – Ruslin
July 15, 2025, 1:03 pm
CAP gesa tindakan tegas isu vape bercampur dadah, dakwa kelewatan KKM ancam generasi muda
July 15, 2025, 12:46 pm