TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

CAP gesa tindakan tegas isu vape bercampur dadah, dakwa kelewatan KKM ancam generasi muda

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 15 Julai – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk segera bertindak terhadap isu vape mengandungi dadah, susulan pendedahan bahawa lebih 70 peratus daripada 96 kertas siasatan sejak awal 2024 melibatkan bahan terlarang seperti kanabinoid dan amphetamine.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V. Subbarow melahirkan rasa kecewa apabila masih tiada tindakan konkrit diambil walaupun pelbagai amaran dan bukti dikemukakan sepanjang tahun lalu.

“Negara lain sudah lama mengharamkan atau mengetatkan kawalan terhadap vape, namun Malaysia masih bertangguh. Kelewatan ini mengundang risiko lebih besar kerana membuka laluan kepada dadah merosakkan masuk ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Subbarow turut memetik amaran bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang sebelum ini mendedahkan peningkatan penggunaan peranti vape bercampur dadah dalam kalangan remaja seawal usia 13 tahun, termasuk yang mengandungi fentanyl – dadah sintetik berbahaya yang 100 kali lebih kuat daripada morfin.

Beliau berkata, isu ini telah melepasi tahap ‘trend gaya hidup’ dan kini menjadi ancaman keselamatan awam serta kesihatan negara.

“Generasi muda hari ini bukan lagi mahu gaya hidup sihat, sebaliknya terdedah kepada ‘gaya hidup zombi’ melalui dadah sintetik dalam vape. Ini sangat membimbangkan,” katanya.

Menurut CAP, kajian juga menunjukkan 65 peratus cecair vape yang dijual mengandungi bahan larangan seperti ekstasi dan methamphetamin, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kelemahan penguatkuasaan.

Subbarow turut menyifatkan penubuhan jawatankuasa khas memantau isu vape sebagai sia-sia sekiranya tiada larangan penuh dikuatkuasakan.

“Berapa ramai lagi yang perlu terkorban sebelum tindakan tegas diambil? Kami menggesa kerajaan bertindak segera dan mengharamkan penggunaan vape secara total demi masa depan anak-anak muda negara ini,” tegasnya. – Media Telus

+ - reset