TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ehati bakal ambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan fitnah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pengasas eHati International Sdn Bhd (eHati), Diyana Tahir dan Rahim Shukor memaklumkan mereka sedang mengambil langkah perundangan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan didakwa berunsur fitnah dan berniat jahat berkaitan program motivasi rumah tangga kendalian syarikat mereka.

Dalam kenyataan hari ini, pasangan itu menegaskan bahawa penyebaran dakwaan tidak berasas itu bukan sahaja menjejaskan kredibiliti profesional, malah memberi kesan besar kepada kesejahteraan emosi dan mental mereka serta keluarga.

“Kami ingin menegaskan bahawa eHati dimiliki sepenuhnya oleh kami berdua, tanpa penglibatan ahli keluarga lain. Penyebaran kenyataan berunsur fitnah terhadap mereka juga akan diambil tindakan,” ujar mereka.

Menurut pasangan tersebut, program motivasi yang ditawarkan melalui eHati bertujuan membimbing wanita mencari ketenangan dan memulihkan trauma melalui pendekatan Neuro-Linguistic Programming (NLP), termasuk pengurusan emosi dan persediaan mental dalam perkahwinan.

Mengulas kontroversi mengenai urutan berasaskan tantra, mereka menjelaskan kaedah yang diguna telah diadaptasi daripada gabungan urutan Thai dan pelvic floor, disesuaikan dengan nilai tempatan serta tidak melibatkan unsur ritual keagamaan. Tambahan pula, modul urutan berkenaan ditawarkan secara pilihan dan bukan diwajibkan kepada peserta.

“Kami menafikan tuduhan membawa peserta ke Bali untuk ajaran sesat. Gambar yang tular hanyalah sebahagian daripada aktiviti pernafasan (breathwork) dalam program retreat, dengan hiasan bunga yang disediakan oleh pihak hotel,” kata mereka lagi.

Diyana dan Rahim turut menafikan individu lelaki dalam gambar tersebut adalah guru spiritual, sebaliknya beliau merupakan pakar detox kesihatan yang dijemput sebagai penceramah.

Berhubung siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mereka menjelaskan telah memberi keterangan pada November 2022. JAIS difahamkan telah menerima penjelasan berkaitan aktiviti dan objektif program, malah membenarkan ia diteruskan dengan syarat penambahan penafian (disclaimer) kepada peserta bagi memperjelas matlamat sebenar program.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook bernama Masyitah Ashari mendakwa program itu melibatkan unsur tidak bermoral termasuk tarian bogel, minuman tidak diketahui kandungan dan aktiviti dikatakan bercanggah dengan ajaran Islam. Dakwaan itu kemudiannya menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi. – Media Telus

+ - reset