TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan perarakan tuntut kebebasan kehakiman patuhi akta, berlangsung aman

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Julai – Polis mengesahkan perhimpunan dan perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia (MPM) di Putrajaya pada Isnin mematuhi sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, perarakan yang bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri berlangsung dari jam 12.30 tengah hari hingga 4 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Seramai kira-kira 600 ahli MPM hadir dalam perhimpunan itu yang diadakan bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dakwaan campur tangan dalam pelantikan dan keputusan kehakiman serta gesaan mengisi segera kekosongan jawatan hakim,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pihak polis turut melakukan kawalan keselamatan sepanjang perarakan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan semua pihak.

Terdahulu, media melaporkan perarakan bertemakan Walk to Safeguard Judicial Independence itu dianjurkan sebagai solidariti terhadap kebebasan institusi kehakiman. Peserta berpakaian hitam dan membawa plakad mendesak ketelusan dalam pelantikan kehakiman serta menyuarakan kebimbangan terhadap krisis keyakinan dalam sistem perundangan negara.

Perarakan itu turut menyaksikan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan utama kepada Pejabat Perdana Menteri. – Media Telus

+ - reset