TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mesin pengering sarung tangan meletup ragut nyawa pekerja kilang di Sepang

By
|
Kongsi
image

SEPANG, 15 Julai – Seorang pekerja kilang warga asing maut dalam satu insiden letupan mesin pengering ketika sedang bertugas di sebuah fasiliti pembuatan sarung tangan di Kawasan Perindustrian Tanjung, Sabtu lalu.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, insiden tragis itu berlaku sekitar jam 2.56 petang ketika mangsa sedang menjalankan tugasan rutin membabitkan proses cucian dan pengeringan produk.

Siasatan awal mendapati pekerja terbabit sedang memindahkan sarung tangan yang telah dibasuh ke dalam mesin pengering. Namun, sewaktu beliau kembali untuk membuat pemeriksaan, berlaku letupan sebaik sahaja butang permulaan mesin ditekan.

“Rakaman CCTV menunjukkan selepas mangsa menekan butang ‘start’, satu letupan kuat berlaku, menyebabkan pintu mesin tercabut dan menghentam mangsa, mengakibatkan dia tercampak,” kata JKKP.

Mangsa mengalami kecederaan serius dan kemudian disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta tidak lama selepas kejadian.

Ekoran tragedi tersebut, JKKP telah mengeluarkan Surat Larangan Kacau Ganggu kepada pihak pengurusan kilang berkenaan, mengarahkan semua operasi dihentikan serta-merta bagi tujuan siasatan menyeluruh.

Pihak jabatan kini sedang menjalankan siasatan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi mengenal pasti punca kejadian serta sebarang unsur kelalaian yang mungkin berlaku. - Media Telus

+ - reset