TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua penuntut UniPSAS, hafiz al-Quran maut dalam nahas dengan ambulans di Kuantan

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 15 Julai – Dua mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah ambulans swasta di persimpangan lampu isyarat Jalan Gambang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 22, dan Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 21.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11 pagi dan siasatan awal mendapati ambulans yang dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) telah membelok ke kanan dengan siren dinyalakan sebelum bertembung dengan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala pembonceng dikejarkan ke HTAA dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu ambulans berusia 49 tahun dan pembantu berusia 43 tahun turut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HTAA.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, pihak UniPSAS dalam satu hantaran di Facebook merakamkan rasa dukacita atas kehilangan dua pelajarnya dalam insiden tragis berkenaan.

“Zuhair Rifqi ialah penuntut Diploma Pengajian Quran dan Sunnah manakala Firdaus sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Pentadbiran Kehakiman. Kedua-duanya amat meminati ilmu agama dan hafaz 30 juzuk al-Quran,” menurut kenyataan tersebut. – Media Telus

+ - reset