TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AKPS tolak kemasukan 99 warga asing di KLIA, tujuan lawatan meragukan

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 26 Julai – Seramai 99 warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Jumaat telah ditolak masuk ke negara ini selepas didapati tidak memenuhi syarat imigresen yang ditetapkan.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan, kesemua individu terbabit gagal melepasi saringan keselamatan menerusi satu operasi khas yang bermula sekitar jam 9.30 pagi.

“Operasi yang menyasarkan penerbangan berisiko tinggi itu menyaksikan lebih 400 individu diperiksa secara rapi.

“Mereka yang ditolak kemasukan terdiri daripada 80 lelaki warga Bangladesh, 10 warga India dan sembilan warga Pakistan,” katanya pada Sabtu.

Tambah AKPS, tindakan penolakan masuk dilakukan kerana individu terbabit memiliki tujuan lawatan serta rekod perjalanan yang meragukan, sekali gus melanggar syarat kemasukan imigresen negara.

Jelas agensi itu, kesemua 99 warga asing berkenaan telah menjalani proses dokumentasi lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing mengikut prosedur undang-undang sedia ada.

“Operasi intensif itu berlangsung dari jam 9.30 pagi, diketuai oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti. Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual secara individu,” ujarnya.

AKPS menegaskan, langkah penguatkuasaan seumpama ini akan terus diperkasa secara berkala sebagai langkah proaktif membanteras ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia ‘counter setting’ dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.

+ - reset