Berita Berita
Polis sahkan 80,000 peserta turun Himpunan Turun Anwar, tiada insiden kekecohan

KUALA LUMPUR 26 Julai – Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini menyaksikan kehadiran luar jangka, dengan anggaran semasa menunjukkan lebih 80,000 peserta hadir, jauh melebihi jangkaan awal pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, meskipun anggaran awal sekitar 18,000 peserta, jumlah kehadiran nyata meningkat secara mendadak, namun perhimpunan tetap berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.
“Kita menganggarkan lebih kurang 18,000 orang hadir, namun anggaran semasa menunjukkan kehadiran boleh mencecah sehingga 80,000 orang. Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan semuanya berjalan lancar,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir kerana mematuhi peraturan serta menyeru penganjur agar lebih telus dan bekerjasama dengan pihak berkuasa pada masa akan datang.
“Nasihat saya kepada penganjur, pada masa akan datang perlu lebih telus dan beritahu kami lebih awal tentang kehendak mereka. Kami akan lihat dari sudut keselamatan kerana ia adalah tanggungjawab kami sepenuhnya,” ujarnya.
Bagi memastikan kelancaran perhimpunan, lebih 3,000 pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan ditugaskan sepanjang acara berlangsung.
“Kita tingkatkan kekuatan sehingga 3,000 anggota untuk memastikan keadaan kekal terkawal,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai tindakan susulan, Mohamed Usuf memaklumkan bahawa pihak polis akan memanggil penganjur untuk sesi bedah siasat bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang dikenal pasti.
“Setiap kali ada acara sebegini, kita akan adakan mesyuarat bersama semua pihak bagi melihat aspek yang perlu diperbaiki,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa polis menerima sebanyak 60 laporan sebelum himpunan berlangsung, kebanyakannya membantah penganjuran acara tersebut. Namun, tiada sebarang laporan diterima sepanjang perhimpunan hari ini.
Berita berkaitan
July 26, 2025, 9:32 pm
Penunggang motosikal maut terjatuh 21 meter dari 'flyover' di Lebuhraya DASH
July 26, 2025, 5:18 pm
Tunggu hasil siasatan polis, KPM jamin ambil tindakan adil kes kematian Zara Qairina
July 26, 2025, 4:41 pm
Tun M, Muhyiddin hadir di Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka
July 26, 2025, 2:48 pm
'Saya tak dijemput hadiri himpunan' - Anwar
July 26, 2025, 2:30 pm
Ahli Parlimen perlu contohi pelajar sekolah berbahas dengan adab, ilmu - Anwar
July 26, 2025, 1:50 pm
AKPS tolak kemasukan 99 warga asing di KLIA, tujuan lawatan meragukan
July 26, 2025, 12:21 pm