TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal maut terjatuh 21 meter dari 'flyover' di Lebuhraya DASH

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM, 26 Julai – Seorang lelaki berusia 23 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat (flyover) setinggi kira-kira 21 meter di susur 1/B 0.5 Lebuhraya DASH, di sini, dalam kejadian Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 4.45 petang apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15 dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh dan melanggar penghadang jalan (divider) flyover.

“Impak dari kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah flyover dari ketinggian kira-kira 21 meter ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta difahamkan sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Melayu Subang ke sebuah bengkel servis motosikal di Kuala Lumpur.

Mohd Iqbal memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang awam atau mana-mana saksi bebas yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 012-2836851.

+ - reset