TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Anwar dah turunkan harga minyak, elektrik' - Saifuddin persoal tuntutan Himpunan Turun Anwar

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 26 Julai - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyindir tuntutan peserta himpunan pembangkang yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan, dengan menyatakan bahawa kerajaan telah pun mengambil langkah proaktif termasuk menurunkan harga minyak dan tarif elektrik.

Beliau berkata, kerajaan Madani kekal menjunjung prinsip Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara rakyat, dan atas dasar itu tidak memberikan tumpuan berlebihan terhadap perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini.

“Bila mahkamah kata tak perlu maklumkan kepada polis, kita ikut… mereka minta (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun, Anwar dah turunkan harga minyak. Mereka minta Anwar turun, Anwar turunkan tarif elektrik. Masih nak turun lagi?” katanya secara sinis.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Temu Duga Kanak-kanak (CIC) Kontinjen Kedah, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.

Desak di Jalanan, Bukan Saluran Sah

Mengulas lanjut, Saifuddin mempersoalkan keikhlasan pembangkang dalam mengangkat prinsip demokrasi apabila memilih jalan luar Parlimen untuk menyuarakan tuntutan terhadap kerajaan.

“Kalau pembangkang betul-betul menghormati prinsip demokrasi, saya nak lontarkan dua soalan, mereka hendak lakukan di luar Parlimen atau di dalam Parlimen?

“Dalam Parlimen, Perdana Menteri dah buka seluas-luasnya peluang dan pembangkang boleh buat usul undi tak percaya.

“Dalam kes ini, Perdana Menteri kata usul pembangkang akan didahulukan, urusan kerajaan akan ditangguh dulu. Tapi sidang Parlimen dah lima hari, sunyi sepi,” ujarnya dalam laporan Bernama.

Rakyat Boleh Nilai Niat Sebenar

Saifuddin turut menegaskan bahawa tindakan membuat tuntutan di luar Dewan Rakyat tidak memberi sebarang kesan sekiranya tidak disertai proses sah menerusi sistem demokrasi berparlimen.

“Yang ada, riuh rendah kat luar nak berkumpul. Jadi, rakyat boleh tengok sekarang ini, nak pegang prinsip demokrasi atau sebenarnya nak wujudkan keresahan?

“Nak paparkan wajah hodoh, nak bagi isyarat buruk kepada potensi pelabur, ketika ekonomi sedang mula bergerak ke arah yang lebih baik,” katanya lagi.

+ - reset