TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dana RM10 juta diluluskan untuk pembangunan Muar – PM Anwar

By
|
Kongsi
image

 

MUAR 27 Julai - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di daerah ini, sebagai langkah meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu akan disalurkan segera supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk Muar dalam masa terdekat.

“Kerajaan mahu rakyat Muar menikmati pembangunan seimbang. Justeru, peruntukan RM10 juta ini akan dimanfaatkan sebaiknya melalui pelbagai projek pembangunan yang dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Tanjung Emas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Fahmi Fadzil, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan projek itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar.

Terdahulu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana memilih Muar sebagai tuan rumah majlis pelancaran berkenaan.

“Muar adalah lokasi di mana sejarah kemerdekaan dilakarkan, melahirkan tokoh penting yang membuka jalan kepada pembentukan negara bangsa termasuk Datuk Onn Jaafar, Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Abdul Majid Salleh.

“Apabila Johor, khususnya Muar, dipilih, saya percaya ini bukan satu kebetulan tapi penghargaan kepada sejarah,” katanya.

Selepas merasmikan majlis, Anwar turut menyempurnakan gimik pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025, membabitkan 88 unit kenderaan kontinjen darat dan 66 aset pengangkutan air, dengan lebih 300 peserta keseluruhan.

Konvoi ini akan membawa Jalur Gemilang ke seluruh negara melalui 88 lokasi perhentian (checkpoint) – 44 di Semenanjung, 20 di Sabah, 22 di Sarawak, dan dua di Wilayah Persekutuan Labuan – sebelum berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, iaitu lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.

+ - reset