TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut dipukul selepas tunjuk kemaluan di pasar raya Jasin

By
|
Kongsi
image

JASIN 28 Julai – Seorang lelaki berusia 51 tahun maut dipercayai dipukul sekumpulan individu selepas menunjukkan kemaluannya kepada orang ramai di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jasin Bestari, malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam apabila tindakan mangsa menimbulkan kemarahan dua pengunjung pasar raya yang kemudian bertindak memukulnya.

“Mangsa melarikan diri ke arah bangunan kedai berhampiran dan dikejar hingga ke kawasan semak. Dia turut berenang menyeberangi sungai kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, mangsa terus dipukul oleh beberapa individu lain yang dipercayai membantu selepas diminta oleh dua pelaku awal,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dipukul menggunakan tangan dan kaki.

Menurut Dzulkhairi, polis menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9.30 malam dan berjaya menahan tujuh lelaki berumur antara 20 hingga 50 tahun, termasuk seorang warga Pakistan.

Semakan mendapati mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau pada tahun 2003 dan 2024.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan semua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak terburu-buru di luar batas undang-undang. – Media Telus

+ - reset