Berita Berita
Himpunan Turun Anwar: Polis tahan Chegubard, didakwa menghasut

KUALA LUMPUR 28 Julai - Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, ditahan polis petang ini dipercayai berkaitan penganjuran Himpunan 'Turun Anwar' yang berlangsung di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Menurut peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, Badrul Hisham ditahan di kediamannya kira-kira jam 2.30 petang, meskipun sudah memberi komitmen untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok (Selasa) bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
Rafique menyifatkan penahanan itu sebagai tidak wajar memandangkan anak guamnya telah menetapkan temu janji dengan pegawai penyiasat.
"Semalam kami menerima pengesahan bahawa laporan polis telah dibuat terhadap Chegubard berhubung penglibatannya dalam Himpunan Turun Anwar. Kertas siasatan dibuka atas beberapa dakwaan termasuk Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan," katanya.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan menghina dengan niat mencetuskan pecah keamanan, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia merangkumi penyalahgunaan kemudahan rangkaian. Seksyen 4(1) Akta Hasutan pula memperuntukkan hukuman ke atas kenyataan atau tindakan berunsur hasutan.
“Penahanan ini amat dikesali, apatah lagi tiada insiden tidak diingini dilaporkan semasa atau selepas perhimpunan tersebut,” tambah Rafique.
Chegubard adalah antara pemimpin utama yang terbabit dalam penganjuran himpunan terbabit yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mencuri perhatian apabila menyebat patung mirip Anwar di hadapan orang ramai ketika perhimpunan berlangsung.
Sementara itu, Ketua Pemuda BERSATU, Hilman Idham dalam kenyataan berasingan mengkritik tindakan pihak berkuasa, menyifatkannya sebagai penggunaan undang-undang zalim terhadap Badrul Hisham.
Katanya, undang-undang seperti Akta Hasutan merupakan antara akta yang dijanjikan untuk dimansuhkan oleh Pakatan Harapan semasa kempen Reformasi.
“Tindakan menggunakan undang-undang ini terhadap Chegubard adalah bukti kegagalan Anwar menunaikan janji Reformasi,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda BERSATU menggesa Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan serta-merta tanpa terus berselindung di sebalik undang-undang sedia ada.
Pihak media sedang mendapatkan maklum balas daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengesahkan perkembangan terkini berhubung siasatan dan penahanan tersebut.
Berita berkaitan
July 29, 2025, 2:33 pm
Ahmad Fadhli didesak mohon maaf kepada Thailand, Kemboja
July 29, 2025, 2:26 pm
Hampir sejuta pengguna nikmati penjimatan susulan penangguhan kenaikan tol – Nanta
July 29, 2025, 2:16 pm
Mikrofon Ahli Parlimen Hulu Langat dimatikan gara-gara berbahas di luar skop soalan
July 29, 2025, 2:08 pm
25 PATI ditahan dalam Ops Sapu di Lojing
July 29, 2025, 2:05 pm
Murid lelaki trauma dibuli siber selepas dituduh pukul rakan sekolah
July 29, 2025, 2:03 pm
KDN haramkan dua buku, dikhuatiri jejas moral masyarakat
July 29, 2025, 1:57 pm
Remaja lelaki lemas ketika mandi di Air Terjun Pertak
July 29, 2025, 1:27 pm
MEF puji kepimpinan Anwar jayakan gencatan senjata Thailand - Kemboja
July 29, 2025, 1:02 pm
Lagi kes buli tular di Sabah pada 2023 , Fadhlina arah siasatan segera
July 29, 2025, 12:51 pm