Berita Berita
20 budak termasuk bayi 15 hari dipercayai diabai ditemui dalam gudang kotor, tiada kemudahan asas dalam gudang George Town

GEORGE TOWN 28 Julai – Seramai 20 kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari berjaya diselamatkan dalam satu operasi khas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dua premis sekitar Seberang Perai Tengah pada 21 Julai lalu.
Menurut Sinar Harian, operasi tersebut melibatkan sebuah gudang kilang serta sebuah rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, semua kanak-kanak berusia antara 15 hari hingga 16 tahun itu terdiri daripada 10 lelaki dan 10 perempuan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka tidak mempunyai penjaga sah dan dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selamat.
“Mereka telah dikategorikan sebagai Kanak-Kanak Yang Memerlukan Pemeliharaan dan Pelindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
“Daripada jumlah itu, 12 kanak-kanak tidak mempunyai sijil kelahiran, enam mempunyai dokumen pengenalan dan masih ada ahli keluarga, manakala dua lagi telah diserahkan kepada penjaga keluarga terdekat,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Siew Khim berkata, bayi perempuan berusia 15 hari itu masih belum mempunyai sebarang dokumen pengenalan sah.
Kesemua kanak-kanak kini ditempatkan di institusi yang diwartakan sebagai ‘tempat selamat’ oleh kerajaan negeri selepas menerima Perintah Jagaan Sementara daripada Mahkamah Bukit Mertajam.
“Mereka juga telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan penilaian lanjut,” katanya.
JKM juga telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menyelaras isu dokumentasi dan menjalankan siasatan latar belakang secara menyeluruh terhadap setiap kanak-kanak.
“Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan sokongan rakan strategik pelbagai agensi. Semua tindakan diambil berpaksikan prinsip kepentingan terbaik untuk kanak-kanak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang komited sepenuhnya untuk memastikan keselamatan dan hak semua kanak-kanak terus terpelihara dan dihormati.
“Kes ini masih dalam siasatan polis. Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan dan mengganggu proses siasatan,” tegasnya.
Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim, berkata kanak-kanak yang diselamatkan serta seorang wanita yang merupakan ibu kepada bayi berkenaan terdiri daripada pelbagai warganegara.
Menurutnya, kesemua mereka boleh memahami bahasa Melayu namun lebih fasih bertutur dalam bahasa Mandarin.
“Kami menerima aduan daripada orang ramai sejak hujung tahun lalu mengenai kehadiran sekumpulan kanak-kanak di kawasan tersebut dan melakukan risikan selama beberapa bulan.
“Hasil serbuan, 20 kanak-kanak dan seorang wanita berjaya diselamatkan dari gudang berkenaan yang didapati dalam keadaan sangat tidak bersih, tidak kondusif dan tiada kemudahan asas,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati terdapat unsur-unsur pengabaian dalam kes berkenaan.
“Tiada kesan penderaan fizikal dikesan pada tubuh kanak-kanak, namun dua daripada mereka berada dalam keadaan kurang sihat.
“Ketika serbuan, terdapat lima individu dipercayai penjaga yang kini sedang disiasat oleh pihak polis,” jelasnya.
Berita berkaitan
July 29, 2025, 2:42 pm
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dilantik Pengerusi The BrandLaureate
July 29, 2025, 2:33 pm
Ahmad Fadhli didesak mohon maaf kepada Thailand, Kemboja
July 29, 2025, 2:26 pm
Hampir sejuta pengguna nikmati penjimatan susulan penangguhan kenaikan tol – Nanta
July 29, 2025, 2:16 pm
Mikrofon Ahli Parlimen Hulu Langat dimatikan gara-gara berbahas di luar skop soalan
July 29, 2025, 2:08 pm
25 PATI ditahan dalam Ops Sapu di Lojing
July 29, 2025, 2:05 pm
Murid lelaki trauma dibuli siber selepas dituduh pukul rakan sekolah
July 29, 2025, 2:03 pm
KDN haramkan dua buku, dikhuatiri jejas moral masyarakat
July 29, 2025, 1:57 pm
Remaja lelaki lemas ketika mandi di Air Terjun Pertak
July 29, 2025, 1:27 pm
MEF puji kepimpinan Anwar jayakan gencatan senjata Thailand - Kemboja
July 29, 2025, 1:02 pm