TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru PJ mengaku tidak bersalah miliki pil yaba

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 28 Julai - Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis pil yaba seberat 5.31 gram, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Amirul Amin Ismail, 34, yang juga guru Pendidikan Jasmani, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah terbabit tanpa kebenaran sah mengikut Bahagian III Akta Dadah Berbahaya 1952, di sebuah unit rumah kuarters guru di Subang Jaya, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 25 Julai lalu.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah iaitu sebanyak RM3,000, dengan alasan anak guamnya masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan tidak berisiko untuk melarikan diri.

“Tertuduh bekerja sebagai cikgu PJ, menanggung isteri yang tidak bekerja, seorang anak berusia tiga tahun serta ibunya yang uzur,” katanya.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

+ - reset