TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sektor semikonduktor diperkukuh, CREST dan HRD Corp meterai MoU latih 60,000 jurutera menjelang 2030

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Julai  – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab semikonduktor serantau apabila Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan saluran bakat berkemahiran tinggi dalam sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E), khususnya semikonduktor.

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun pertama Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dalam Persidangan Semikonduktor ASEAN 2025. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

MoU bersejarah itu menandakan pelancaran rasmi Program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI), yang menyasarkan pembangunan 15,000 individu dalam fasa awal dan 60,000 jurutera menjelang 2030 melalui program latihan berfokus industri, pembangunan penyelidikan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada.

“MITI bersama KESUMA kini menggerakkan dasar secara berkesan bagi melahirkan jurutera bertaraf dunia yang mampu menerajui inovasi dan mencipta nilai.

"Program CREST–HRD Corp ini bukan sahaja memperkasa industri semikonduktor, malah membantu Malaysia dan ASEAN meraih manfaat daripada sektor yang diunjurkan mencecah nilai global USD2 trilion menjelang 2030,” kata Tengku Zafrul.

Menurut Steven Sim, pendekatan pembangunan bakat kini tidak lagi bergantung kepada saiz pelaburan atau bilangan kilang, tetapi kepada keupayaan membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Melalui HRD Corp, kita mempergiatkan model latihan berorientasikan hasil dan dipacu data. Dengan kursus boleh tuntut dan latihan dibiayai majikan, kita bantu industri tingkatkan kemahiran jurutera tanpa beban kewangan,” katanya.

Program ETSI juga memanfaatkan ekosistem levi HRD Corp dan menyasarkan pelajar, graduan, pekerja serta penyelidik bagi memperkukuh kebolehpasaran, mempercepat pemindahan teknologi dan membina kepakaran tempatan dalam reka bentuk serta pembuatan cip semikonduktor.

Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim menyatakan bahawa ETSI mencerminkan misi untuk memperkasakan bakat dari hari pertama.

“Kami membina asas kukuh melalui pelajar, jurutera dan penyelidik individu yang akan mencipta syarikat, membina harta intelek dan menjulang Malaysia dalam peta global semikonduktor,” katanya.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan pula menjelaskan bahawa inisiatif ini turut didukung oleh penyediaan rangka kerja Industrial Skills Framework (IndSF) khas bagi industri semikonduktor, bertujuan membantu semua pemegang taruh memahami landskap kemahiran yang diperlukan dalam sektor ini.

Kerjasama strategik ini turut diselaraskan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan ASEAN Framework for Integrated Semiconductor Supply Chain (AFISS), yang meletakkan tumpuan kepada peningkatan keupayaan PKS dan pekerja dalam sektor berimpak tinggi.

+ - reset