Berita Berita
'Tak puas hati harga minyak mahal, pergi beli di Singapura, Indonesia atau Thailand' - Anwar

MUAR, 27 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pembangkang yang terus mempertikaikan harga petrol RON95 sebagai mahal adalah tidak berasas dan bermotifkan politik semata-mata.
Menurut beliau, keputusan kerajaan menurunkan harga RON95 sebanyak enam sen kepada RM1.99 seliter bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan pertimbangan menyeluruh termasuk implikasi kewangan negara.
“Semalam ucap (Himpunan Turun Anwar), harga minyak naik tetapi dia (pembangkang) tidak tahu, tidak puas hati dengan harga minyak di negara ini.
“Pergi beli di Singapura yang lebih tinggi harganya. Begitu juga di Thailand dan Indonesia. Semuanya tinggi, jauh melambung daripada Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa keputusan kerajaan mengenakan harga tanpa subsidi bagi petrol RON95 kepada warga asing adalah langkah demi melindungi kepentingan rakyat Malaysia.
Beliau menolak dakwaan kononnya kerajaan tidak berhati perut kerana mengenakan harga pasaran kepada warga asing yang membeli bahan bakar tersebut di negara ini.
“Ada yang kata, ‘macam mana ni PMX ni, tak berhati perut, nak minta orang asing bayar lebih.’
“Orang asing pun beri sumbangan juga, tetapi orang asing itu tak bayar cukai. Mana ada di dunia ini orang asing diberi hak yang sama dengan warganegara.
“Saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab saya yang pertama, jaga rakyat Malaysia. Itu saya pegang,” tegas beliau.
Terdahulu pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliterselepas penyasaran subsidi bahan api dilaksanakan kelak.
Langkah itu, katanya, dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 18 juta pengguna, termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, golongan belia seawal usia 16 tahun dan pekerja ekonomi gig.
Berita berkaitan
July 28, 2025, 6:39 pm
Usaha diplomatik Malaysia berhasil, Thailand, Kemboja setuju genjatan senjata tanpa syarat
July 28, 2025, 5:48 pm
Kerajaan teruskan Bantuan Musim Tengkujuh bantu pekebun kecil
July 28, 2025, 5:42 pm
Lelaki maut dipukul selepas tunjuk kemaluan di pasar raya Jasin
July 28, 2025, 4:50 pm
Himpunan Turun Anwar: Polis tahan Chegubard, didakwa menghasut
July 28, 2025, 4:31 pm
Polis siasat segala sudut kematian Zara, mohon orang ramai henti buat spekulasi
July 28, 2025, 4:16 pm
Guru PJ mengaku tidak bersalah miliki pil yaba
July 28, 2025, 2:59 pm
38 jemaah umrah terkandas di Jeddah pulang hari ini
July 28, 2025, 2:15 pm