Berita Berita
42 jemaah umrah terkandas di Jeddah, agensi didakwa gagal sediakan tiket pulang

SHAH ALAM 27 Julai - Seramai 42 jemaah umrah dari Malaysia dilaporkan terkandas di Jeddah, Arab Saudi selepas agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air, meskipun bayaran penuh telah dibuat.
Salah seorang jemaah, Rakis Santa, 43, berkata mereka sepatutnya pulang ke Malaysia pada Jumaat lalu, namun sehingga hari ini, agensi berkenaan masih belum menguruskan pembelian tiket.
“Kami sekarang menginap di sebuah apartmen di Jeddah dan pihak agensi ada meminta wang tambahan sebanyak RM2,300 untuk membeli tiket pulang ke Malaysia.
“Rata-rata jemaah tidak bersetuju kerana kami telah membayar pakej penuh dan terpaksa menanggung banyak kerugian akibat terkandas ini.
“Kami sudah membayar antara RM9,000 hingga RM12,000 seorang untuk pakej umrah. Ada juga ahli keluarga yang tidak dapat turut serta kerana masalah kesihatan, tetapi sehingga kini tiada sebarang bayaran balik diterima, walaupun ada yang telah membuat pembayaran antara RM30,000 hingga RM90,000,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Insiden ini dipercayai berpunca daripada beberapa siri penangguhan tarikh keberangkatan jemaah sejak musim Syawal yang lalu.
Tarikh itu kemudian ditukar ke musim haji dan akhirnya ke selepas musim haji tanpa penjelasan kukuh daripada pihak agensi pengendali.
Menurut Rakis, jemaah masih bersyukur kerana mutawif mereka, PU Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi bekas peserta program realiti Pencetus Ummah 2015 bertanggungjawab menanggung kos penginapan mereka sejak Jumaat lalu.
“Walaupun kami ditipu pihak agensi, namun kami bersyukur dapat mutawif yang bertanggungjawab dengan menanggung kos penginapan kami sepanjang terkandas di sini.
“Cumanya, kami tidak tahu sampai bila kami harus tunggu kerana kos semakin bertambah dan kami sudah melakukan Tawaf Wada (tawaf selamat tinggal),” jelasnya.
Rakis turut memaklumkan bahawa para jemaah telah menghubungi wakil Kedutaan Malaysia di Jeddah untuk mendapatkan bantuan dan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit.
“Kami berharap pihak kedutaan dapat membantu bagi membolehkan kami semua pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, PU Abu dalam satu video dimuat naik di Instagram turut mengesahkan situasi yang dihadapi mereka.
“Saya bersama 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan kami gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
“Kami sepatutnya berlepas malam ini, tetapi terpaksa menunggu tanpa kepastian selepas dimaklumkan tiada tempahan tiket penerbangan dibuat oleh pihak agensi,” katanya.
Beliau juga meluahkan rasa simpati terhadap keadaan jemaah yang rata-ratanya berusia 40-an hingga 60-an.
“Saya kasihan melihat raut wajah para jemaah yang kecewa, keletihan mengerjakan umrah dan tiba-tiba perkara ini berlaku.
“Saya harap video ini boleh dipanjangkan dan sekiranya sampai kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab, selesaikan dengan cara seorang lelaki – sampai ke titisan darah terakhir,” tegas beliau.
Berita berkaitan
July 28, 2025, 6:39 pm
Usaha diplomatik Malaysia berhasil, Thailand, Kemboja setuju genjatan senjata tanpa syarat
July 28, 2025, 5:48 pm
Kerajaan teruskan Bantuan Musim Tengkujuh bantu pekebun kecil
July 28, 2025, 5:42 pm
Lelaki maut dipukul selepas tunjuk kemaluan di pasar raya Jasin
July 28, 2025, 4:50 pm
Himpunan Turun Anwar: Polis tahan Chegubard, didakwa menghasut
July 28, 2025, 4:31 pm
Polis siasat segala sudut kematian Zara, mohon orang ramai henti buat spekulasi
July 28, 2025, 4:16 pm
Guru PJ mengaku tidak bersalah miliki pil yaba
July 28, 2025, 2:59 pm
38 jemaah umrah terkandas di Jeddah pulang hari ini
July 28, 2025, 2:15 pm