TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peserta PLKN 3.0 gagal hadir tanpa alasan sah boleh didenda hingga RM3,000 atau dipenjara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Individu yang dipanggil untuk menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tetapi gagal melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda maksimum RM3,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perkara itu termaktub di bawah Seksyen 19 Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), yang menetapkan penyertaan dalam fasa latihan PLKN 3.0 sebagai mandatori bagi individu terpilih yang menerima notis rasmi.

“Bagi menangani isu ketidakhadiran, Kementerian Pertahanan telah menggariskan beberapa langkah strategik. Pertama, penyampaian notis rasmi kehadiran melalui pos berdaftar, hebahan senarai nama pelatih di media rasmi dan media sosial, serta pencarian aktif termasuk kunjungan ke kediaman pelatih.

“Kedua, penangguhan hanya dibenarkan maksimum dua kali, tertakluk kepada alasan kukuh yang disokong dokumentasi relevan.

“Ketiga, jika pelatih masih gagal hadir selepas tempoh penangguhan, sesi kaunseling bersama ahli keluarga akan diadakan sebagai intervensi akhir,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata, pendekatan ini penting untuk memastikan objektif PLKN 3.0 tercapai dan integriti program tidak terjejas, selain membentuk generasi muda yang berdisiplin, bertanggungjawab dan komited menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut Mohamed Khaled, sejak pelaksanaan PLKN 1.0 dan 2.0 dari tahun 2004 hingga 2018, seramai 894,256 peserta terlibat. Dalam tempoh itu, sebanyak 20 kes kematian direkodkan, kebanyakannya akibat komplikasi kesihatan sedia ada atau serangan jantung secara mengejut.

“Hasil siasatan mengesahkan tiada kes kematian disebabkan kecuaian semasa latihan atau insiden buli. Kementerian Pertahanan komited memastikan pelaksanaan program ini lebih selamat, berfokus, dan relevan dengan cabaran semasa generasi belia,” katanya. - Media Telus

+ - reset