TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita ganggu, peluk Sultan Perak adalah Melayu, bukan Cina - Polis

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 Sept -  Bukit Aman menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan seorang “perempuan Cina” sebagai individu yang menceroboh pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak di Ipoh, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri M Kumar berkata, siasatan polis mengesahkan individu terbabit ialah seorang wanita tempatan berbangsa Melayu berusia 41 tahun.

“Polis menyangkal berita tersebut, sebaliknya tangkapan dibuat ke atas seorang perempuan tempatan berbangsa Melayu. Ujian saringan air kencing turut dijalankan dan keputusannya negatif,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dalam kejadian itu, majlis sambutan yang dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, terganggu seketika apabila wanita terbabit yang mempunyai rekod rawatan psikiatri menceroboh kawasan pentas utama ketika lagu negeri Perak berkumandang.

Wanita berkenaan kemudian ditahan pihak berkuasa.

Insiden tersebut bagaimanapun mencetuskan salah faham selepas Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Hafez Sabri, memuat naik hantaran di Facebook mendakwa penyerang terbabit seorang wanita Cina.

Hantaran itu kemudian dipadamkan, namun beberapa pengguna media sosial lain turut menyebarkan dakwaan sama.

Menurut Kumar, kes penularan berita palsu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan mendatangkan khianat awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 505(b), manakala Seksyen 233 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi kes tangkapan wanita terbabit pula, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 325 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Polis memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan hantaran tidak benar serta menimbulkan kegentaran awam, selain mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia,” kata Kumar.

 

+ - reset