TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat pematuhan SOP anggota, pegawai melibatkan kes kehilangan barang di inap desa Kajang

By
|
Kongsi
image

KAJANG 6 Sept. – Polis sedang menyiasat sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam kes melibatkan seorang pegawai serta beberapa anggota yang ditahan berhubung kehilangan barangan di sebuah banglo tiga tingkat yang dijadikan inap desa di Kajang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan itu dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Pegawai dan anggota terbabit telah dibebaskan dengan jaminan. JIPS IPK Selangor diarahkan menyiasat aspek pematuhan SOP sama ada ia dilaksanakan atau tidak semasa serbuan,” katanya kepada media pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan akan diteruskan sehingga selesai.

Sebelum ini, dilaporkan seorang pegawai serta beberapa anggota ditahan bagi membantu siasatan kehilangan barangan peribadi bernilai ratusan ribu ringgit di inap desa terbabit.

Menurut Shazeli, laporan polis dibuat oleh seorang penghuni selepas mendapati biliknya berselerak dan barang hilang. Siasatan mendapati serbuan dilakukan sekitar jam 2 pagi pada 28 Ogos susulan aduan bunyi bising di premis tersebut.

Banglo berkenaan yang berfungsi sebagai inap desa mempunyai beberapa bilik dan dihuni pelbagai individu. Mangsa hanya menyedari kehilangan barang ketika pulang semula ke premis itu pada 29 Ogos sebelum membuat laporan polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - Media Telus

+ - reset