TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Dah 12 tahun tak dapat bonus' - Cuepacs harap kerajaan pertimbang bonus sebulan gaji untuk penjawat awam dalam Belanjawan 2026

By
|
Kongsi
image

 

KUALA TERENGGANU 4 Sept – Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menimbang pemberian bantuan khas kewangan atau bonus bersamaan sebulan gaji kepada penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pengumuman sebegitu amat dinantikan kerana kali terakhir penjawat awam menerima bonus sebulan gaji adalah 12 tahun lalu.

"Walaupun kita berterima kasih kerana kerajaan telah melaksanakan kenaikan gaji sebanyak lapan peratus pada Disember lepas dan tujuh peratus pada Januari tahun depan, kami masih tertunggu-tunggu bentuk bonus atau bantuan khas kewangan yang boleh diumumkan kerajaan.

"Sudah lama kami tidak mendengar perkataan pembayaran dalam bentuk sebulan atau dua bulan gaji. Kami hanya mendengar lima ratus sahaja," katanya pada Majlis Makan Malam Apresiasi Madani 2025 Cuepacs Terengganu ke-10, di sini.

Selain tuntutan bonus, Cuepacs turut meminta kerajaan memberi perhatian kepada usaha menaik taraf fasiliti kesihatan daif, khususnya di luar bandar dan pedalaman.

"Masih terdapat klinik kesihatan di luar bandar dan pedalaman dalam keadaan usang hingga menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

"Dalam belanjawan akan datang kami berharap kerajaan dapat lihat kemudahan yang patut disediakan kepada rakyat. Pada masa sama petugas kesihatan juga mampu memberi perkhidmatan terbaik bersesuaian dengan kemudahan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Cuepacs merayu agar kerajaan mempercepatkan lantikan tetap kira-kira 2,000 jururawat masyarakat yang telah lulus Peningkatan Secara Lantikan (PSL) bagi memenuhi keperluan mendesak sektor perubatan negara.

Menurut Adnan, tekanan bebanan kerja yang tinggi akibat kekurangan kakitangan menjejaskan perkhidmatan kesihatan di banyak lokasi.

"Kami mendapati hampir 2,000 jururawat masyarakat telah lulus PSL, tetapi belum dilantik kepada jururawat terlatih dan dinaikkan daripada gred U1 kepada U5. Kami mohon kerajaan melaksanakan secepat mungkin lantikan mereka kerana keperluan dari segi jururawat terlatih pada masa sekarang amat mendesak.

"Bagaimanapun kami juga berharap jika dinaikkan gred, mereka tidak dihantar ke Sabah atau Sarawak untuk bertugas kerana kekosongan dan keperluan masih wujud di tempat sama," katanya. 

+ - reset