TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Bayangkan sistem rosak ketika mahu isi minyak' - Rafizi cadang salur subsidi petrol RON95 guna pemindahan tunai

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Sept – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencadangkan kerajaan menyalurkan subsidi petrol RON95 melalui kaedah pemindahan tunai terus kepada rakyat, berbanding menggunakan sistem MyKad bagi pengesahan kewarganegaraan di stesen minyak.

Rafizi berkata, cadangan itu lebih praktikal memandangkan pelaksanaan sistem berasaskan MyKad berisiko berdepan masalah teknikal, sebagaimana yang berlaku ketika pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini.

“Saya sudah suarakan sejak awal kebimbangan kalau guna IC (kad pengenalan). Sebab itu saya katakan lebih baik imbangan diberi melalui pemindahan tunai, misalnya RM200, RM300 atau RM400 sebulan mengikut kesesuaian keluarga, berbanding kesukaran operasi jika bergantung pada IC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada episod terbaharu podcast Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan sistem terminal pembayaran MyKasih bagi pengagihan bantuan SARA mengalami kelembapan di pelbagai lokasi pada 1 September lalu berikutan lonjakan transaksi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bantuan tersebut akan dikreditkan ke dalam MyKad lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Mengulas perkara itu, Rafizi mendakwa gangguan sistem berkenaan menggagalkan tujuan asal kerana rakyat lebih mengingati kesukaran mendapatkan bantuan berbanding manfaat kewangan yang diterima.

Menyentuh mengenai subsidi RON95, beliau turut membangkitkan kebimbangan jika mekanisme berasaskan MyKad diteruskan.

“Bayangkan kalau sistem rosak ketika orang ramai beratur di stesen minyak. Kalau card reader tak jalan atau bandwidthtak cukup, ia akan timbulkan masalah lebih besar,” jelasnya.

Beliau berharap kerajaan mengambil kira pengalaman daripada isu SARA sebelum memuktamadkan mekanisme subsidi petrol RON95.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata butiran lanjut mengenai pelaksanaan subsidi RON95 akan diumumkan hujung bulan ini.

Katanya, kerajaan sedang meneliti beberapa mekanisme termasuk penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak.

 

 

+ - reset