Berita Berita
'Arwah kelihatan takut ketika mendaki tapi tak beritahu sebab' — Malim gunung kongsi detik akhir Mustaqqeem di Gunung Liang
KUANTAN 21 Okt - “Sepanjang perjalanan hari ketiga, arwah Mus beberapa kali menyatakan dia dalam ketakutan, tetapi tidak menjelaskan apa yang ditakutkan.”
Menurut laporan Berita Harian, itu luahan Malim Gunung Perhutanan (MGP), Rahimi Md Arifin, 50, yang mengiringi pendaki Mustaqqeem Mansoor, 34, sejak hari pertama hingga hari ketiga dalam ekspedisi pendakian Gunung Liang, sebelum tragedi meragut nyawa pendaki berkenaan berlaku.
Rahimi berkata, sepanjang dua hari pertama, arwah yang mesra dipanggil Mus kelihatan ceria dan bersemangat walaupun mula menunjukkan tanda keletihan menjelang hari ketiga.
“Walaupun mengalami kejang otot, Mus masih boleh berjalan perlahan dan keadaan itu menyebabkan kami jauh ketinggalan dengan kumpulan pertama dan kedua.
Arwah yang penat dan lemah berkelakuan pelik apabila asyik memerhatikan sekeliling ketika berjalan, tapi bila saya tanya, dia cuma kata tengok akar pokok bagi mengelak kaki tersangkut,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sebelum ini, Mustaqqeem bersama 10 pendaki lain dilaporkan memulakan pendakian pada 10 Oktober dari Bukit Fraser dan dijadualkan menamatkan ekspedisi di Gunung Liang.
Allahyarham dilihat kali terakhir berada di puncak Gunung Liang Barat pada 10.30 malam, 14 Oktober, sebelum dilaporkan hilang. Bedah siasat kemudian mengesahkan beliau meninggal dunia akibat hipotermia.
Rahimi berkata, ekspedisi Trans Temangkok Gunung Liang kali ini dijalankan secara “compress” — hanya tiga hari berbanding kebiasaan empat hingga lima hari.
“Keadaan itu mungkin menjadi faktor arwah tertekan dan kepenatan kerana perlu mengejar masa,” katanya.
Beliau turut berkongsi, selepas tiba di puncak Gunung Liang pada hari ketiga, mereka berehat dan makan sebelum memutuskan untuk turun sekitar jam 10.30 malam.
“Keadaan arwah ketika itu agak lemah tapi masih mampu berjalan dengan perlahan. Saya turun terlebih dulu untuk meninjau laluan sambil menunggu dia dari belakang,” katanya.
Rahimi berkata, meskipun malam gelap dan hujan lebat, beliau sempat melihat lampu kepala arwah bergerak menuruni cerun, menunjukkan Mustaqqeem masih meneruskan perjalanan.
“Saya bergerak perlahan sambil menunggu arwah dan yakin dia dapat berjalan turun tanpa sebarang masalah.
Pada masa sama, saya cuba mencari kawasan yang ada liputan telefon untuk hubungi seorang lagi MGP dan penganjur.
Sebagai ‘sweeper’, saya tidak berniat untuk berpisah dan membiarkan arwah sendirian. Saya menunggu di beberapa lokasi termasuk di Kem 7E, malah sempat tidur beberapa jam dengan harapan arwah turun dengan selamat,” katanya.
Namun, katanya, Mustaqqeem tidak muncul seperti dijangka.
“Saya tidak menolak kemungkinan arwah naik semula ke puncak Gunung Liang selepas beberapa meter turun. Saya pula sudah terlalu penat dan cedera di jari kaki hingga terpaksa menggunakan selipar.
Saya tidak menyangka perkara buruk boleh berlaku. Kegembiraan menawan puncak Gunung Liang bertukar tragedi hitam hanya selepas dua tahun saya menjadi MGP,” katanya yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam aktiviti pendakian.
Berita berkaitan
October 25, 2025, 4:51 pm
Menteri Timor-Leste galak pelaburan baharu, perkukuh kerjasama di ASEAN 2025
October 25, 2025, 11:54 am
ASEAN perlu kekal bersatu tangani isu Laut China Selatan – Mohamad Hasan
October 25, 2025, 11:43 am
Mangsa banjir di Perak meningkat kepada hampir 3,000 orang
October 25, 2025, 11:38 am
Empat maut termasuk remaja perempuan dalam nahas tiga motosikal, sebuah Myvi di Tangkak
October 25, 2025, 11:33 am
Gangguan sistem semboyan sebabkan tren Laluan Putrajaya lewat, Rapid Rail aktifkan bas perantara percuma
October 25, 2025, 11:26 am
Lelaki maut ditetak sepupu guna parang di Tumpat
October 24, 2025, 9:01 pm
Kubur terhakis, jenazah hanyut akibat banjir di Kuala Trong
October 24, 2025, 8:28 pm
Hati-hati, semua negeri di utara Semenanjung diramal hujan berterusan hingga esok - MetMalaysia
October 24, 2025, 8:14 pm
Polis buru tuan lembu sebabkan kemalangan ragut nyawa bayi di Bera
October 24, 2025, 7:32 pm
