Berita Berita
FINAS umum pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin sebagai CEO sehingga 2027
KUALA LUMPUR 5 Nov. – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini mengumumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS bagi tempoh dua tahun bermula 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.
Dalam kenyataannya, Datuk Azmir merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi FINAS serta Ahli-Ahli Perbadanan atas kepercayaan yang diberikan. Beliau turut menghargai sokongan seluruh warga FINAS dan rakan industri yang terus berganding bahu memajukan sektor kreatif negara.
Datuk Azmir berkata, pelantikan penggal kedua ini akan memberi fokus kepada pemerkasaan dasar dan pembangunan industri, termasuk pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) bagi memperkukuh tadbir urus serta melindungi kebajikan kru produksi.
Menurutnya, FINAS turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035 yang menggariskan agenda pembangunan 10 tahun seperti menjadikan Malaysia hab industri kreatif ASEAN, memperkukuh monetisasi harta intelek (IP), membuka pasaran eksport serta memperluas kerjasama pembiayaan dan produksi bersama antarabangsa.
Selain itu, sebanyak RM110 juta insentif galakan industri filem disediakan bagi menggalakkan penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti di Malaysia, termasuk RM10 juta bagi kandungan berteraskan semangat kenegaraan.
FINAS turut memperkenalkan Dana Belia Kreatif MADANI bagi melahirkan generasi pencipta kandungan yang berilmu dan bertanggungjawab, selain menyokong pembangunan bakat di kampus serta komuniti belia seluruh negara.
Sepanjang penggal pertama 2023–2025, FINAS mencatat beberapa pencapaian utama termasuk pemulihan ekosistem industri pasca pandemik, peningkatan kutipan filem tempatan mencecah RM180 juta sehingga Oktober 2025, serta kejayaan filem Malaysia menembusi festival antarabangsa seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown dan Imam.
Malaysia kini berada dalam kedudukan strategik di rantau ini dengan pertumbuhan pawagam yang stabil serta pelaburan berterusan platform OTT antarabangsa seperti Netflix, Viu, Astro dan iQiyi. FINAS juga akan memperkasa skim kerjasama produksi antarabangsa serta memperkenalkan model baharu pembiayaan filem bagi menarik lebih banyak pelaburan global.
Pada ASEAN Film & TV Summit 2025, Malaysia turut menyaksikan pemeteraian Deklarasi Belia Kreatif ASEAN, iaitu komitmen bersama generasi muda rantau ini terhadap integriti kreatif, keterangkuman budaya dan kepelbagaian naratif sinema.
Datuk Azmir menegaskan bahawa FINAS kini komited menjadi sebuah organisasi yang lebih cekap, telus dan mesra industri melalui pindaan akta serta penambahbaikan dasar perfileman negara.
FINAS turut berazam memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Kelang sebagai pusat kecemerlangan produksi, selain memperluas infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak untuk mengangkat Borneo Content ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi FINAS, Ahli-Ahli Perbadanan serta seluruh warga FINAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Azmir atas pelantikan semula itu dan menzahirkan harapan agar beliau terus memacu industri filem negara ke tahap lebih gemilang.
Berita berkaitan
January 12, 2026, 7:57 am
MCMC sekat sementara akses AI Grok di Malaysia
January 11, 2026, 6:36 pm
Azam Baki sahkan Panglima tentera dipanggil SPRM kes rasuah terbaru
January 11, 2026, 2:41 pm
Ketegangan di Iran: Rakyat Malaysia dinasihat berwaspada, patuh arahan pihak berkuasa
January 11, 2026, 12:22 pm
Pelajar 15 tahun maut hari pertama persekolahan di Terengganu
January 11, 2026, 12:09 pm
'Wakil rakyat boleh cuba duduk sebelah ladang babi, rasai pengalaman sebenar penduduk' - Sultan Selangor
January 11, 2026, 11:58 am
Tragedi budak ditarik ombak: Mayat Muhammad Zarif ditemukan awal pagi tadi
January 11, 2026, 11:37 am
Penumpang tersepit tahan sakit tiga jam, 15 cedera nahas bas ekspres, lori di laluan Sungai Buaya-Rawang
January 11, 2026, 8:07 am
'Enough is enough' - Akmal Saleh gesa wajibkan saringan harta sebelum pelantikan jawatan tinggi
January 10, 2026, 4:20 pm
SPRM sita 23 jam tangan Rolex bernilai RM2 juta di rumah isteri kedua bekas PTD
January 10, 2026, 2:09 pm
