Berita Berita
Sumber pencemaran Sungai Perak di Kampung Sungai Papan masih belum dikenal pasti
IPOH 18 Nov – Punca sebenar pencemaran air di kawasan hulu Sungai Perak, Kampung Sungai Papan, Gerik, yang tular bulan lalu apabila air sungai bertukar kebiruan, masih belum dapat dipastikan.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, laporan siasatan terakhir yang diterima kerajaan negeri setakat ini belum memberikan keputusan muktamad mengenai sumber pencemaran berkenaan.
Menurutnya, walaupun berlaku limpahan air yang berubah warna, punca kepada perubahan itu tidak dapat dikesan kerana sumber sebenar pencemaran belum dikenal pasti.
“Laporan siasatan terakhir itu tiada keputusan dan kita tidak tahu sumber sebenar pencemaran. Namun siasatan masih diteruskan. Buat masa ini, tiada apa-apa yang hendak diumumkan.
“Disebabkan air yang melimpah itu sudah tidak dapat dikesan, laporan yang kita terima juga tiada hasil yang konklusif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Perak 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman.
Pada 5 November lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa kenyataan rasmi mengenai kejadian itu hanya akan dikeluarkan selepas semua agensi termasuk JPS, JMG, PTG dan JAS menyelesaikan siasatan masing-masing.
Ditanya mengenai tahap keselamatan air sungai untuk diminum, Kok Lim berkata, ia selamat pada masa ini kerana kesan pencemaran tidak lagi kelihatan.
Beliau turut mengesahkan bahawa tiga operator perlombongan termasuk sebuah operasi perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang sebelum ini disyaki berkaitan pencemaran, masih diarahkan menghentikan operasi sementara sehingga hasil siasatan lengkap diperoleh.
Sementara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar sebelum ini tidak menolak kemungkinan wujudnya saliran baharu atau tindak balas kimia tertentu yang menyebabkan air sungai bertukar biru, namun tiada bukti pelepasan efluen melebihi parameter dikesan.
Pada 21 Oktober lalu, tular video dan gambar menunjukkan air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan bertukar kebiruan seperti air laut, kira-kira lima kilometer dari Kampung Air Ganda.
Berita berkaitan
April 7, 2026, 12:06 pm
Rumah ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran musnah terbakar
April 7, 2026, 11:36 am
Dua guru pelatih IPG lemas: KPM ambil tanggungjawab penuh, semak semula SOP aktiviti luar
April 7, 2026, 9:55 am
Anak Tun Daim didakwa gagal isytihar pegangan saham dalam lima syarikat
April 7, 2026, 9:38 am
Lelaki ditemui maut dalam stor sukan berkunci di UPSI
April 7, 2026, 9:17 am
Pemandu treler positif dadah didakwa bunuh, rempuh van hingga tiga sekeluarga maut
April 7, 2026, 8:49 am
Fadhlina beri penghormatan terakhir kepada dua penuntut IPG Perlis maut lemas
April 7, 2026, 8:32 am
Malaysia jamin laluan selamat bagi kapal komersial yang terkandas di Selat Hormuz
April 7, 2026, 8:23 am
Asnida Daim akan didakwa di mahkamah pagi ini gagal isytihar harta
April 7, 2026, 8:12 am
