TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

​​​​​​​Malaysia jamin laluan selamat bagi kapal komersial yang terkandas di Selat Hormuz

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

PUTRAJAYA 7 April – Kementerian Luar Negeri mengesahkan salah satu daripada tujuh buah kapal komersial milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz telah diberikan laluan selamat untuk meneruskan perjalanan ke destinasi asal.

Kejayaan ini merupakan hasil penglibatan diplomatik peringkat tinggi yang digerakkan melalui perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu.

Selain itu, rundingan turut melibatkan kerjasama erat antara Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan bersama rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa pencapaian positif ini mencerminkan keberkesanan dialog berterusan dalam menangani cabaran keselamatan maritim serta ketegangan serantau yang berlaku di Asia Barat.

Malaysia juga kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi antarabangsa dan akan terus mengutamakan keselamatan laluan maritim selaras dengan undang-undang yang ditetapkan.

Wisma Putra dalam kenyataan yang sama menekankan kepentingan diplomasi sebagai langkah utama untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan di laluan perdagangan global yang kritikal tersebut.

+ - reset