TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu treler positif dadah didakwa bunuh, rempuh van hingga tiga sekeluarga maut

By
|
Kongsi
image

 

SEGAMAT 7 April - Seorang pemandu treler yang disahkan positif dadah akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh selepas terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan tiga sekeluarga.

Ketua Polis Daerah Segamat, Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, suspek berusia 29 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihak polis menerima arahan daripada Pendakwaan Negeri Johor (PPN) supaya pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 dan bukan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tempoh reman empat hari yang dikeluarkan terhadap suspek berakhir hari ini (semalam), jadi Mahkamah Majistret membenarkan tempoh itu disambung dua hari lagi bermula hari ini (semalam)," katanya ketika dihubungi.

Mohd Jumazanzahir berkata, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tindakan akan diambil selepas laporan patologi diperoleh.

"Suspek disahkan positif dadah selepas polis menjalankan ujian saringan air kencing sejurus kemalangan meragut tiga nyawa termasuk suami isteri," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Khamis lalu, tiga sekeluarga maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 210, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru.

Mangsa yang terkorban ialah K Myakrishnan, 71, isterinya S Sevendai, 65, serta abangnya Palamiandy, 75.

Dua lagi ahli keluarga, iaitu cucu kepada Myakrishnan, P Hariharam, 22, dan P Suguya, 18, dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Segamat.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 200 meter dari rumah mangsa ketika keluarga terbabit dalam perjalanan pulang selepas menziarahi saudara di Batu Anam.

+ - reset