TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

29 pegawai AKPS ditangkap terlibat rasuah, kerajaan perketat kawalan pintu masuk negara – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Nov - Seramai 29 pegawai dan kakitangan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditangkap antara Januari hingga September tahun ini kerana disyaki terbabit dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa dan aktiviti “counter setting” di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu integriti melibatkan pegawai barisan hadapan itu dipandang serius dan menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau menegaskan, kerajaan bukan sahaja mengambil tindakan undang-undang melalui pendakwaan, malah sedang melaksanakan pendekatan teknologi bagi mengurangkan intervensi manusia dalam proses pemeriksaan.

Automasi dan sistem pintar kurangkan ruang rasuah

“Pendekatan teknologi berasaskan automasi dan saringan pintar akan diguna pakai bagi mengurangkan campur tangan manusia di pintu masuk,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, tindakan punitif seperti pendakwaan, tindakan tatatertib, semakan harta yang lebih teliti serta pemantauan gaya hidup pegawai turut dipergiat selari dengan pengukuhan integriti dalaman.

“Dengan kombinasi pendekatan ini, kerajaan yakin gejala rasuah dapat ditangani lebih berkesan, sekali gus memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terpelihara,” katanya.

Teknologi baharu diperkenal

Saifuddin berkata, antara sistem yang sedang dan akan dilaksanakan ialah:

  • Sistem Pemeriksaan Penumpang Awal (APSS) – menyaring maklumat pelawat sehingga 72 jam sebelum pelepasan penerbangan.

  • Risk Assessment Engine (RAE) dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) – menggunakan AI dan pembelajaran mesin untuk penilaian risiko yang lebih tepat.

  • Foreign Digital Identity (FDID) – identiti digital tunggal untuk semua pelawat asing, disepadukan dengan biometrik cap jari, imbasan iris dan pengecaman wajah.

Autogate diperluas, pemantauan manual diperketat

“KDN turut memperluas penggunaan mesin autogate sebagai benteng utama menentang ‘counter setting’. Bagi pelepasan masuk, autogate kini dibuka kepada pelawat dari 63 negara serta pemegang pas jangka panjang,” katanya.

Di kaunter manual pula:

  • Semua pegawai AKPS wajib memakai kamera badan,

  • Kaunter dipantau CCTV pintar dengan analisis video berasaskan AI,

  • Sistem mampu mengesan tingkah laku mencurigakan lebih awal.

Langkah itu, katanya, dapat menutup ruang amalan tidak berintegriti serta meningkatkan akauntabiliti pegawai.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai jumlah tangkapan dan langkah kerajaan menangani isu rasuah serta “counter setting” dalam kalangan pegawai AKPS.

+ - reset