TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perak kekal peruntukan RM300,000 untuk semua DUN, tiada dana khas untuk pembangkang

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 1 Dis - Kerajaan negeri Perak menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan peruntukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana peruntukan sedia ada sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program komuniti dan pembekalan.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata peruntukan berkenaan diuruskan oleh beberapa entiti kerajaan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan serta Pejabat Menteri Besar.

Menurut beliau, peruntukan yang diluluskan melalui Pejabat Menteri Besar akan diuruskan oleh ADUN kerajaan di kawasan masing-masing, manakala bagi kawasan pembangkang, pengurusan dilaksanakan oleh pegawai khas Menteri Besar yang dilantik.

“ADUN pembangkang tidak meluluskan peruntukan, tetapi pelaksanaannya tetap dibuat atas jumlah dan kaedah yang sama. Bezanya cuma pada individu yang menguruskan, bukan nilai peruntukan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Akmal Kamarudin (Pas–Selama) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, untuk ADUN kerajaan, sebarang permohonan seperti sumbangan peralatan sekolah akan dinilai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berdasarkan kriteria tertentu sebelum diluluskan.

“Jika sesuatu permohonan melibatkan kepentingan parti politik, seperti membaiki pejabat parti, ia tidak akan diluluskan kerana peruntukan ini hanya untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Bagi kawasan pembangkang pula, Saarani menegaskan semua permohonan tetap diproses melalui mekanisme sama, hanya dikendalikan oleh pegawai khas Menteri Besar.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan bulanan sama rata sebanyak RM10,000 kepada semua pusat khidmat ADUN, termasuk pembangkang.

Daripada jumlah tersebut, RM7,000 diperuntukkan bagi tujuan pengurusan pusat khidmat manakala RM3,000 boleh digunakan untuk urusan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

Saarani berkata, kerajaan negeri berusaha memastikan keadilan dalam pengagihan peruntukan, namun pelaksanaan di peringkat kawasan bergantung kepada pengurusan wakil rakyat masing-masing agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.

+ - reset